Thursday, March 1, 2012

Tiada lagi peluang kedua!


Pernahkah kita berada di dalam situasi begini:
"Kenapa aku tak buat macam ni semalam?" setelah selesai satu tugasan yang diminta.
"Ish... kenapa cakap macam tu kat dia?" setelah selesai mengucapkan sesuatu pada seseorang.
"Awat la bodoh sangat aku ni! Pi kata, pi banding, pi buat macam tu kenapa?"
"Kenapalah aku ikut dia semalam? Kalau tak tak jadi macam ni!"

Kata-kata penyesalan setelah selesai sesuatu  perkara itu!  Kita harap kita boleh buat lebih baik dan lebih cantik dari apa yang telah kita buat semasa kejadian. Rasa sesal yang hadir  kerana kita tahu kita sebenarnya boleh buat yang lebih baik. Tapi perkara telah berlaku apa yang dapat kita buat?  Jika ada lagi peluang kita harap kita tidak akan mengulangi kesalahan yang sama.  

Jika ada peluang!

Jika telah tidak ada peluang bagaimana pula?  Saat ketika betapa sesal pun kita tidak  mungkin kita dapat mengulanginya dan mengundurkannya kerana masa itu telah berlalu dan tak mungkin ada peluang kedua.  Peluang pertama yang diberikan kepada kita dengan segala macam "guidance" dan peringatan tidak kita ambil peduli dan pergunakan untuk melaksanakan sesuatu dengan sebaik mungkin. Jangan kita termasuk ke dalam golongan  yang disebut di dalam ayat-ayat dibawah. Ini yang benar dimaksudkan "Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya"

"Dan pada masa itu sekiranya tiap-tiap seorang yang berlaku zalim (kepada dirinya sendiri atau kepada orang lain) itu mempunyai segala yang ada di bumi, tentulah dia rela menebus dirinya dengan semuanya itu (dari azab yang akan menimpanya) dan mereka tetap akan merasa sesal serta kecewa manakala mereka melihat azab itu dan Allah putuskan hukum di antara mereka dengan adil serta mereka tidak akan dianiaya dengan keputusan itu. (Yunus:10-54)

"(Diperintahkan demikian) supaya jangan seseorang (menyesal dengan) berkata: Sungguh besar  sesal dan kecewaku kerana aku telah mencuaikan kewajipan-kewajipanku terhadap Allah serta aku telah menjadi dari orang-orang yang sungguh memperolok-olokkan (agama Allah dan penganut-penganutnya)!" (Az-Zumar:39-56)

"Atau berkata semasa dia melihat azab: Kalaulah aku dapat kembali ke dunia, nescaya  menjadilah aku dari orang-orang yang mengerjakan kebaikan!(Az-Zumar:39-58)
"Dan sesiapa yang disesatkan oleh Allah, maka tidak ada baginya sesudah itu sesiapapun yang dapat menolongnya dan engkau akan melihat orang-orang yang zalim semasa mereka menyaksikan azab (pada hari kiamat) berkata: Adakah sebarang jalan untuk kami kembali ke dunia? (Asy-Syura:42-44)

No comments:

Post a Comment