Thursday, March 22, 2012

Muda Remaja


Semua kita yang telah berumur ini pasti telah melalui zaman remaja. Perkembangan kita dijadikan Allah berperingkat-peringkat, tanpa ada satu peringkat yang tidak kita lalui.  Dari seketul darah menjadi bayi, dari bayi menjadi kanak-kanak, dari kanak-kanak menjadi remaja, dari remaja menjadi dewasa, dari dewasa menjadi tua... 

Diusia remaja, perasaan kita sama sahaja, mencari identiti diri, tercari-cari cinta untuk menyintai dan dicintai.  Cinta monyet kata orang (kenapa monyet ya, tidak ayam ke, kucing ke, harimau ke?). 

Teringat saya di usia muda remaja, bukan tidak ada spesis yang berlainan jenis yang kita sukai, yang berlainan jenis juga bukan tidak ada yang menyukai kita.  Tapi setiap huluran salam tidak berani nak disambut kerana memikirkan yang pastinya kena kejar dengan parang dengan ayah nanti! Sampai satu masa huluran salam disambut jua, tapi ianya menjadi rahsia yang teramat rahsia dari pengetahuan ayah.  Kalau boleh nak dimasukkan kedalam peti besi  yang kedap segala-galanya agar tidak bocor! Rasa tertekan dengan keluarga? Adalah juga rasanya, tapi tidak pernah dan tidak mungkin ada terfikir walau sekalipun untuk melarikan diri ke, keluar dari kampung ke, merajuk ke rumah kawan-kawan ke (perempuan laa.. lelaki.. memanglah tak terlintas pun!Rasa malu amat menebal..). Kenapa begitu ya?  Kenapa dalam setiap tindakan ketika itu dalam soal perhubungan lelaki dan perempuan ini wajah ayah pasti muncul?  Kenapa kini anak-anak remaja perempuan senang-senang saja menyakiti hati ibu dan ayah?  Lari dari rumah kerumah teman lelaki atas alasan tekanan perasaan!  Cetek benarkah pemikiran remaja sekarang atau tidak ada lagi "father figure" dalam keluarga?

"(Katakanlah wahai orang-orang yang beriman: Agama Islam, yang kami telah sebati dengannya ialah): Celupan Allah (yang mencorakkan seluruh kehidupan kami dengan corak Islam) dan siapakah yang lebih baik celupannya daripada Allah? (Kami tetap percayakan Allah) dan kepadaNyalah kami beribadat." (Al- Baqarah, 2; 138)

"Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam agama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata."(Al- Baqarah, 2: 208)

No comments:

Post a Comment