15 Mac 2012
KENYATAAN MEDIA : PERTUBUHAN IKRAM MALAYSIA (IKRAM)
IKRAM merakamkan perasaan sedih dan dukacita yang
teramat sangat di atas berita pembunuhan kejam anak perempuan comel yang
tidak berdosa, Nurul Nadirah (Dirang) Abdullah yang disyaki dibunuh
dengan kejam selepas dilaporkan hilang seminggu yang lepas . Ucapan
takziah ditujukan khas kepada ibu dan keluarga Allahyarham yang tentu sekali
begitu terkesan oleh insiden malang yang menimpa Dirang. Sesungguhnya,
nama Dirang akan bersemadi selama-lamanya dalam hati setiap rakyat
Malaysia yang turut sama berkabung di atas pemergiannya.
IKRAM mengutuk sekeras-kerasnya tindakan kejam
yang dilakukan oleh pembunuh yang sudah hilang perasaan perikemanusiaannya.
Insiden tragis yang menimpa Dirang kini menjadi satu lagi peristiwa hitam yang
merakamkan keganasan dan kekejaman terhadap kanak-kanak di tanahair
tercinta ini. Tragedi ini
mengingatkan kita semua mangsa kanak-kanak yang
lain seperti Allahyarham adik Nurin Jazlin Jazimin, Nurul Huda Abdul Ghani,
Haserawati Saridi dan Shearwey Ooi Ying Ying. Namun ternyata, segala
tindakan, akta dan hukuman yang dijalankan selama ini masih tidak mampu menghalang
manusia pemangsa
yang kejam dan tidak berhati perut ini dari terus
mencari mangsanya. Siapakah pula mangsa seterusnya? Persoalan ini
akan mencetuskan satu suasana gerun dan ketakutan yang semakin
menyelubungi masyarakat hari ini.
Dalam konteks saranan mengasihi kanak-kanak ,
Islam telah menggariskan contoh teladan melalui perilaku Rasulullah SAW
yang digambarkan dalam mafhum hadith berikut :
Dari Abu Hurairah : Nabi SAW mencium Al-Hassan bin
Ali dan di sisi Nabi ada Al-Aqro’ bin Haabis At-Tamimy yang sedang duduk.
Maka Al-Aqro’ berkata : Aku punya 10 orang anak, tidak seorang pun dari
mereka pernah kucium. Maka Rasulullah SAW pun melihat kepada Al-Aqro’ lalu
baginda bersabda :
`Barangsiapa yang tidak merahmati atau menyayangi
maka ia tidak akan dirahmati.
( HR Bukhari dan Muslim)
Nelson Mandela juga pernah mengatakan :
There can be no keener revelation of a society's
soul than the way in
which it treats its children.”
Tiada petunjuk lebih tepat yang mampu
menggambarkan roh atau intipati jiwa sesuatu masyarakat, selain daripada cara bagaimana
ahli masyarakat tersebut melayan dan meladeni kanak-kanak.
Sesungguhnya, kejadian yang menimpa Dirang dan
ramai lagi kanak-kanak mangsa kekejaman menjadi petanda bahawa ada
sesuatu yang amat tidak kena dalam masyarakat kita hari ini.
IKRAM menegaskan, fenomena peningkatan keganasan
dan kekejaman di kalangan masyarakat berkait rapat dengan longgarnya ikatan
spiritualiti dan lunturnya pegangan akidah individu. Tanpa adanya
perasaan takut kepada kemurkaan Tuhan dan rasa harap kepada
keredhaan-Nya, jiwa manusia dengan mudah diperdayakan oleh nafsu syahwatnya. Apabila
syahwatnya mengganas dan menjadi raja, individu tersebut tidak akan
teragak-agak melakukan sesuatu yang di luar dari jangkaan kebiasaan manusia. Integriti
dan amanah tidak lagi menjadi identiti diri. Perkara pokok mengenai
keteguhan iman dan takwa inilah yang perlu ditanamkan setiap masa dan
ketika dalam diri individu dan masyarakat.
IKRAM mencadangkan beberapa langkah dan tindakan
yang harus diambil perhatian serius:
1. Meminta semua pihak memuhasabah diri secara
jujur dan telus, menilai semula sejauhmanakah kepercayaan agama dan
spiritualiti ini berakar umbi dalam jiwa khususnya generasi muda yang dibimbangi
semakin longgar pegangan agama, nilai dan moral kemanusiaan.
2. Mencadangkan agar ibu bapa sentiasa lebih peka
dengan aspek keselamatan anak-anak di dalam dan luar rumah, di
samping mendidik anak-anak tentang kepentingan keselamatan diri
mereka sendiri.
3. Menyarankan agar kesemua ibu bapa dan golongan
dewasa memastikan anak-anak mereka dididik dengan acuan nilai dan
moral yang tinggi, berpaksikan kepercayaan agama yang dianuti.
Fahaman materialistik dan gaya hidup hedonistik yang begitu berleluasa di
kalangan keluarga moden hari
ini, mestilah digantikan dengan cara hidup
sederhana yang menekankan tentang nilai murni, akhlak, integriti, amanah dan
keseimbangan.
4. Mengajak semua ahli masyarakat untuk mengambil
berat dan mengutamakan kesejahteraan anak-anak dari segenap aspek –
fizikal, mental, emosi, spiritual dan sosial. Semoga sikap keprihatinan
tinggi yang ditunjukkanoleh Encik YP Chong yang dilaporkan bertindak
pantas menyelamatkan Wan Hazim Wan Khadhir, kanak-kanak yang dilaporkan
hilang dari ditemui di rumahnya baru-baru ini, menjadi contoh teladan dan
motivasi untuk kita semua.
5. Merayu pihak berwajib memberikan fokus serius
dalam usaha menanamkan nilai murni berpaksikan moral, agama dan
kerohanian yang tinggi kepada ahli-ahli masyarakat. Keseimbangan hidup mengejar
dunia dan akhirat akan mencetuskan manusia yang kompetatif dan
berdaya-saing tinggi.
6. Menuntut agar segala unsur-unsur perosak jati
diri generasi muda seperti ketagihan dadah, pil khayal, alkohol, seks
bebas dibendung dengan tegas, berkesan dan berhemah.
Sesungguhnya kesejahteraan dan keselamatan
anak-anak adalah tanggungjawab bersama dan amanah buat semua golongan dewasa
dalam masyarakat.
PASTIKAN KEMATIAN NURUL NADIRAH TIDAK SIA-SIA.
JADIKAN IA SATU TITIK MULA UNTUK MASYARAKAT KEMBALI KEPADA ASAS AGAMA DAN
SPIRITUALITI YANG MANTAP DAN KUKUH.
Prof. Madya Dr. Harlina Halizah Siraj
Pengerusi JK Pembangunan Sosial IKRAM
012-3243134
No comments:
Post a Comment