Saturday, February 11, 2012


Petak kebun kami suatu ketika macam ni rupanya.  Seronok tengok pokok yang tumbuh subur.  Saya jenis yang tak suka tanam pokok yang lama baru dapat hasil. Kalau tanam jenis sayuran cepat saja dapat menikmati hasilnya.  Orang tak sabar la nampaknya saya ni!
Tapi kini petak sayur kami dah penuh dengan rumput dan semak samun.  Cuba tanam semula tapi tak menjadi dah.  Tanah dah tak subur.  Tumbuhan yang tak berfaedah (pada manusia) saja yang tumbuh.  Kata adik “Kalau nak suburkan semula tanah, kena baik pulihkan dengan taburkan garam kasar untuk meneutralkan semula tanah, bajai semula”.  Itu yang dah tak sempat nak dibuat lagi.  Kekangan masa yang tidak mengizinkan (alasan?).  Buat masa ni kekadang bersih petak kebun tu, kekadang semak samun, walaupun besarnya hanyalah sekangkang kera (ini betul, bukan bidalan, sekangkang kera saja besarnya).

Macam diri kita juga.  Ketika iman dipuncak, hidup subur amal ibadat kita.  Ketika iman menurun, semak samun amal ibadat kita.  Semak dengan aktiviti lagha.  Jangan biarkan macam petak kebun saya.  Bagi diri kita, suburkanlah sentiasa keimanan kita, pastikan hidup kita menghijau dengan amal ibadat.  Biarlah sedikit, tapi berterusan (istiqamah).  Tatkala kita merasa dah semakin “semak samun” keimanan kita, bersegeralah baik pulih semula dan “tanam semula”.  Jangan biarkan semak samun itu terus bermaharaja lela.  Jika kita mengingati Allah, sesekali “terlupa dan terleka” Allah akan “menegur” kita.  Bukankah DIA Maha Pengasih dan Penyayang?  Allah tidak akan jemu memberi rahmat kepada kita sehingalah kita sendiri jemu untuk beramal ibadat.

No comments:

Post a Comment