Saturday, December 28, 2013

Kenapa tidak Mahu berdakwah?

a) Tak pandai - dah berapa tahun kita Islam tetapi masih tak pandai??? Jika kita tahu kita tak pandai, kita perlulah berusaha untuk berubah. Diterimakah Allah alasan ini?

b) Tiada ilmu - Saidina Abu Bakar sehari selepas masuk Islam telah melakukan dakwah dan Berjaya mengislamkan 10 orang dan 5 darinya terdiri dari ahli syurga!  Banyakkah ilmu Abu Bakar yang baru sehari memeluk Islam?  Kita telah berpuluh tahun hidup di dunia ini masih tak ada ilmu

c)Tiada masa - Kesibukan Rasulullah saw lebih dari kita ke??

d) Tak nak gaduh dengan jiran/rakan - Apakah alas an ini bermaksud kita nak biarkan jiran dan rakan-rakan kita dibakar didalam neraka!! Kerana kita sayang merekalah kita perlu berdakwah kepada mereka.

e) Bukan tugas saya! - Ini semua tugas ustaz2, MAIS, JAIS, HC ... bukan saya!!! :-( sedangkan kita meyakini berdakwah itu WAJIB!

f) Tiada paksaan dalam agama - ini terapply setelah kita sebarkan dan memberi penerangan kepada mereka untuk memilih, mereka yang memilih setelah kebenaran telah kita sampaikan kepada mereka.

g) Sensitif - kenapa jaga sensitivity manusia sedangkan tidak jaga sensitivity Allah.

h)  Saya banyak doasa/tak layak - Tiada manusia yang tidak berdosa, tiada siapa yang perfect.

Apakah alasan yg kita ada untuk kita 'sembahkan' kepada Allah kenapa kita biarkan Ah Chong, Mutu, Aunty Mei, Uncle Siva dibakar di dalam neraka!!

Kata Kumar yg baru 4 bulan memeluk Islam "Saya merasa marah kenapa selama 36 tahun saya hidup tak ada sesiapa beritahu saya tentang Islam!"

Rasa bagai di tumbukan padu tepat di muka!
posted from Bloggeroid

Friday, December 27, 2013

Banyak dah buat!!!

Hari ini alhamdulillah dapat bersama-sama dalam program "Dakwah Dalam Masyarakat Majmuk".  Dah banyak kali hadir program tapi dakwah belum berjalan!

Satu ilmu baru yang dapat hari ni (dari macam2 ilmu yang banyak tu).

Apakah itu dakwah?

Dakwah --> Seruan Al Haq kepada yang belum Islam, ajak masuk Islam

Kalau yang dah Islam tu bukan dakwah? Itu kita namakan 

Islah--> Perbaiki diri menjadi Muslim yang sejati, ke arah insan yang soleh wa musleh.

Jadi persoalan?  

Dah buat dakwah ke belum sebenarnya?? 

Atau sebenarnya kita banyak melakukan Islah dan bukan Dakwah??




Sunday, December 15, 2013

Kuliah Isnin: Kisah para anbia

Manusia kebinatangan: bagaimana mungkin?

Kisah anakanda Ammar yang insyaallah semoga syahid miliknya, adalah satu dari kisah kematian yang menghidupkan jiwa-jiwa insan yang masih berbaki kehidupan kita di dunia ini.  Pastinya pengakhiran begini yang kita inginkan kerana sebaik-baik kematian adalah syahid.

Tetapi sebaliknya pula bagi beberapa paparan (yang bukanlah berita baru di bumi Malaysia ni..). Kisah sikecil yang dibuang macam sampah! Tau buat kemudian buat-buat tak tau!! Dah dosa berzina di tambah lagi dengan dosa membunuh! Alhamdulillah (Alhamdullilah???) jika anak yang suci dan tidak berdosa itu tak mati!.

Apa punya manusia pun tak pasti yang tak punya sifat belas kasih, kemanusiaan..bersifat kebinatangan... Binantang pun tak buat macam tu!

Dimanakah nilai kemanusiaan andai ditinggalkan anak yang kecil yang tak mampu buat apa-apa di tepi longkang! Tidak rasakah betapa tersiksanya di kecil itu andai di gigit semut-semut api yang menghurungnya, sedangkan dia tidak mampu untuk menepis apakah lagi lari dari siksaan itu.  Sanggupkah siibu bayangkan anaknya di siat-siat dagingnya oleh gigi-gigi tajam anjing jalanan (sangguplah agaknya sebab tu tinggalkan anak tepi longkang.. :-( ). Jika kita berhukum dengan hukum Islam kita boleh laksanakan hukuman Qisas.  Kalau sabit kesalahan, rendamkan saja ibu dan ayah sikecil ni dalam sarang semut api tak pun ikatkan pada pokok yang penuh dengan kerengga...

“Kalian akan tahu siapa yang akan mendapat tempat terbaik di akhirat dan sesungguhnya orang-orang zalim itu tidak akan beruntung.” (QS. al-An’am: 135)

Rasulullah SAW bersabda,
  • “Takutlah kamu akan berbuat zalim! Karena perbuatan zalim itu menyebabkan kegelapan di hari Kiamat." (HR.al-Bukhary dan Muslim)
  • “Sesungguhnya Allah Azza Wajalla menangguhkan (mengulur-ulur) azabnya terhadap orang zalim dan bila Dia mengazab-nya tidak akan luput (tidak akan di lepaskan lagi)." (HR. Muslim)

Wednesday, November 13, 2013

Seroja dan Teratai

Hari ni dapat ilmu baru.  Dah puluhan tahun hidup kat dunia ni , baru ni tahu yang seroja tu tumbuhan dalam air dan bukan macam kenanga or melur!!  :-) 
Ni Seroja

Ada lirik lagu "...Mari menyusun seroja bunga seroja. Hiasan sanggul remaja puteri remaja.....". Sebab tu ingatkan bunga seroja ni macam bunga melur ke, kenanga ke sebab buat hiasan sanggulkan!  Tak pernah nampak orang letak bunga teratai buat hiasan sanggul! (yg tak tinggal berdekatan air)

Macam-macam bentuk dan tumbuhan yang Allah jadikan di duniai ini.  menjadikan dunia ini cantik berwarna warni dengan padangan warna-warna yang menarik.  Ia menunjukkan Allah itu Maha Indah.  

Yang ni Teratai
Diri ni bunga yang biasa ada kat Malaysia pun tak tau bezakan mana satu mana!  Tu baru cakap ilmu bunga, tak cakap ilmu tumbuhan lagi, atau ilmu haiwan lagi! Begitu tidak berilmunya terasa! Itu semua menunjukkan betapa Allah itu Maha Mengetahui.
 "..  ketika Kami wahyukan kepadamu: "Sesungguhnya (ilmu) Tuhanmu meliputi segala manusia". Dan ..."  Al-Isra',17:60

Ni Kenanga
"Dialah Allah, yang menjadikan segala yang ada di bumi untuk kamu dan Dia berkehendak (menciptakan) langit, lalu dijadikan-Nya tujuh langit. Dan Dia MahaMengetahui segala sesuatu". Al Baqarah,2:29

Thursday, October 31, 2013

Kejadian Alam

Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi; dan (pada) pertukaran malam dan siang; dan (pada) kapal-kapal yang belayar di laut dengan membawa benda-benda yang bermanfaat kepada manusia; demikian juga (pada) air hujan yang Allah turunkan dari langit lalu Allah hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya, serta Ia biakkan padanya dari berbagai-bagai jenis binatang; demikian juga (pada) peredaran angin dan awan yang tunduk (kepada kuasa Allah) terapung-apung di antara langit dengan bumi; sesungguhnya (pada semuanya itu) ada tanda-tanda (yang membuktikan keesaan Allah kekuasaanNya, kebijaksanaanNya, dan keluasan rahmatNya) bagi kaum yang (mahu) menggunakan akal fikiran.    
(Al-Baqarah 2:164)

Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal;
(A-li'Imraan 3:190)

Katakanlah (wahai Muhammad): "Perhatikan dan fikirkanlah apa yang ada di langit dan di bumi dari segala kejadianyang menakjubkan, yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya).Dalam pada itu, segala tanda dan bukti (yang menunjukkan kekuasaan Allah), dan segala Rasul (yang menyampaikan perintah-perintah Allah dan memberi amaran), tidak akan memberi faedah kepada orang-orang yang tidak menaruh kepercayaan kepadanya.(Yunus 10:101)

Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan (wahai umat manusia dan jin)?
(Ar-Rahmaan 55:13) 

Thursday, August 22, 2013

Raya kita, raya mereka...

Lama tak berbicara disini. Bukan tak ada yang nak menulis, tapi "chek malaih" bertandang!

Dah separuh syawal berlalu, tapi puasa enam masih berbaki lagi!  Kali ni sebab cuti raya di sambung pula dengan cuti sekolah, maka panjanglah rehatnya.  Inilah rasanya kali pertama sejak bertahun dalam dunia PhD bercuti panjang.  Walaupun ada perkara yang belum selesai, tapi biarkanlah dulu.  Insyaallah akan ditangani selepas cuti.  Sebab cuti, puasa enam pun "bercuti" gak.

Setelah sebulan rutin bertukar di bulan ramadhan, rindu pula nak meneruskan rutin begitu.  Siang tak habis masa dengan makan - makan pagi, makan tengahari, makan petang - tu lom masuk kunyah-kunyahan di antara masa-masa tu! Makan saja.  Seronok dibulan Ramadhan tak yah habis masa dengan makan! Diet? Idak laa.. walaupun rasa bulan puasa ni penurunan kg (kilogram) amat tidak begitu significant.

Peristiwa yang berlaku kepada saudara seislam kita di Mesir, Syria dan Palestine menambah rasa tidak selera untuk makan. Raya kita penuh open house, raya mereka??

Mesir

Syria


Semoga gelaran syudaha menjadi milik mereka. Berbahagialah kalian di sana kerana syurga pasti milik kalian.

Thursday, July 18, 2013

Suami perlukan testosterone dan Isteri perlu oxytocin untuk kurangkan stres

Tulisan Pak Utih 
Ahmad Shafiai Uda Jaafar (pakutih@ymail.com / http://mahligaikasih.multiply.com)

Tulisan ini untuk bacaan bersantai sahaja.

Sumber
Abu pulang ke rumah dengan keadaan letih. Sesampai di rumah, dia melabuhkan badan yang separuh longlai terbenam di dalam sofa malasnya dan mengangkat kaki di atas pelapik kaki berlunjur ke arah tv. Dia terus mencapai alat kawalan jauh, mengetik-ketik mencari saluran berita dunia di sana sini. Fikirannya terasa lega kerana dapat mencampakkan ke belakang masalah yang menghantuinya di pejabat tadi. Niatnya semata-mata untuk memulihkan tenaga yang telah hilang di pejabat tadi dan bersedia untuk menyumbang tenaga dan tanggungjawab yang mungkin diperlukan di rumahnya ini.

Sebaliknya, Aminah, isteri Abu yang pulang lebih awal dari pejabatnya, berada di dapur sambil menyusun pinggan mangkuk dan periuk kuali yang sudah kering di rak pinggannya, merasa hairan mengapa suaminya tidak menegurnya, diam membatu menengok tv. Adakah dia sakit? Atau adakah dia marah padanya?. Apa salahnya dia ceritakan masalah yang dia hadapi berkongsi dengannya? Atau tanya padanya masalah yang dia hadapi di pejabatnya? Adakah dia tidak nampak yang isteri berada di dapur ini? Sambil menjeling sekali sekala melalui tepian matanya ke arah suaminya yang sedang tenggelam hanyut, fikirannya terus membuat bermacam-macam andaian hingga ke peringkat adakah dia ini masih cinta pada dirinya lagi?. 
Aminah bertambah stres.

Aminah sangat hairan memikirkan suaminya semakin hari bertambah dingin terhadapnya.

Abu pula bertambah bingung mengapa akhir-akhirnya ini, isterinya mudah saja melenting dan marah-marah atas perkara yang dianggapnya remeh temeh.

Kedua suami isteri ini telah bernikah atas dasar cinta yang sejati yang telah mereka ikatkan pada tujuh  tahun yang lalu. Namun cinta yang disanjung itu tidak mampu untuk mengekalkan kemanisan berbulan madu hingga ke hari ini. Mengapakah perkara begini boleh terjadi?.

Mari kita imbas kembali bagaimana Allah mencipta kita seawal umur satu hari hingga kelapan minggu semasa ruh kita di tiupkan ke dalam janin kita. Sahabat saya Dr Danial Zainal Abidin yang mempelopori Minda Super, mengatakan, Allah menentukan jantina kita semasa kita berumur enam atau lapan minggu. Sebelum enam minggu, semua janin adalah perempuan.  Bagi janin yang ditentukan menjadi lelaki, maka ia mengeluarkan hormon testosterone yang tinggi kepekatannya dan merubah bentuk menjadi lelaki. Manakala janin yang ditentukan menjadi perempuan, akan terus menjadi perempuan tanpa dibekalkan dengan hormon testosterone yang banyak.

Kajian terkini menyatakan bahawa wanita mengeluarkan hormon oxytocin untuk menangani stres manakala lelaki mengeluarkan testosterone untuk tujuan yang sama. Kesan pengeluaran oxytocin di dalam wanita yang mengalami stres dikatakan boleh menyebabkan wanita berasa selamat, bekerjasama, rasa prihatin, membantu dan belai membelai. Bagi lelaki pula, pengeluaran testosterone semasa kecemasan ialah menyebabkan dia bingkas bangun bertindak segera, berkorban diri untuk kepentingan umum dan bermotivasi menyelesaikan masalah. Dengan perbezaan ini dan ketidakfahaman fungsi hormon dan kesan kepada lelaki dan wanita inilah yang menyebabkan salah satu punca konflik di antara lelaki dan wanita di mana juga sama ada di pejabat ataupun di rumah.
                                                    
Memang tepatlah kenyataan lelaki (rijal) di dalam Surah An Nisa ayat 34, itu sebagai pengawal, penjaga dan pemimpin wanita yang telah dibekalkan oleh Allah dengan hormon ini agar lelaki bermotivasi menjaga diri, keluarga dan masyarakatnya daripada serangan musuh dan wanita pula dibasahi dengan hormon oxytocin agar bermotivasi memelihara, membelai dan menjaga hubungan peribadi dengan suami, anak-anak dan masyarakat sekelilingnya.

Mari kita memahami kesan testosterone terhadap lelaki dan wanita. Tingginya tahap testosterone di dalam lelaki akan menyebabkan stresnya rendah. Sebaliknya bagi wanita memang hormon ini boleh menyebabkan rasa tinggi berkuasa, berupaya dan kelihatan lebih seksi tetapi ia tidak merendahkan stres baginya. Malah menyebabkan wanita bertambah agresif dan mudah melenting.

Lelaki memerlukan dua keadaan iaitu mengeluar dan membina testosterone. Pertama semasa mengeluarkan testosterone, seperti sedang menukarkan tayar bocor, lelaki dapat merasai nikmat kepuasannya pengeluaran hormon ini. Selepas itu, lelaki memerlukan aktiviti untuk membina semula testosterone yang telah digunakan tadi seperti tidur, makan, main permainan, tengok berita di tv dan membaca akhbar. Ia juga merasakan kepuasan semasa testosterone dibinakan semula ini.
Manakala banyaknya oxytocin di dalam wanita akan menyebabkan turunnya stess mereka tetapi tidak kepada lelaki. Memang orang lelaki akan bertambah jujur, empati dan pemurah sikapnya tetapi tingginya kepekatan hormon ini akan menyebabkan lelaki bertambah stres dan jadi mengantuk melemahkan hormon testosterone.

Wanita memerlukan juga dua keadaan iaitu mengeluar dan membina oxytocin. Semasa mengeluarkan hormon ini seperti melayani anak dan suami, wanita rasa puas dan stresnya turun. Kedua semasa menerima belaian dan batuan kerja rumah daripada suami akan menyebabkan hormon ini terbina dan dia merasa puas juga.

Kembali kita kepada senario di atas tadi. Abu merasai dirinya stres setelah tidak berjaya menyelesaikan masalah di pejabatnya tadi. Perbuatannya mendiamkan diri dan menonton tv adalah semata-mata untuk membina hormon testosterone yang telah kurang. Isterinya boleh membantu mempercepatkan proses ini dengan membiarkannya “menggua” di depan tv dan memberinya air minum kesukaannya tanpa mengeluarkan apa-apa ungkapan. Apabila Abu terasa kembali segar, pasti dia akan ke dapur bertemu isteri kesayangannya itu. Waktu inilah giliran isterinya pula menambahkan hormon oxytocin setelah hilang melayan anak-anak sekembali daripada pejabat, apabila suaminya mula menghampirinya. Teknik yang terbaik ialah bisikkan kepada suaminya dengan ungkapan, “Alhamdulillah, tolong Minah untuk bereskan ini, Minah perlukan pertolongan abang, terima kasih Abang”, seolah-olah bantuan penyelesaian diperlukan daripada suaminya yang “pakar-menyelesaikan-semua-masalah” itu.

Abu dengan mudah bersedia membantu kerana hormon testosterone telah banyak dan bersedia untuk mengeluarkannya melalui aktiviti “Menyelesaikan Masalah” yang diperlukan oleh isterinya.

Selamat mencuba.
Pak Utih

Tuesday, June 11, 2013

Disini dan disana, ada persamaannya...

Baru-baru ini berada dalam satu majlis penerimaan award untuk pelajar cemerlang UPSR, SPM, STPM, O-level dan A-Level. Yang mendapat awardnya anak-anaklah. Berada di dalam majlis ini, tidak kiralah siapa pun ibubapa anak-anak itu, mereka berada di atas pentas hasil usaha mereka untuk berjaya. Mereka berada di atas pentas menuai hasil tidak cukup tidur, hasil menelaah berkali-kali, hasil usaha memahami apabila ada yang tidak difahami, hasil tuaian yang telah mereka semai berbulan-bulan sebelum itu!  Tidak kira apa status ibubapa mereka, tidak kira dilevel mana pangkat ibubapa mereka, mereka di pentas kerana merekalah yang telah dipilih oleh Allah untuk berjaya. Dipilih secara individu.

Melihat dan memuhasabah dari peristiwa ini, apa saja yang kita lakukan di dunia ini adalah refleksi  perjalanan kehidupan kita di dunia dan akhirat nanti. Tidak kira apa pun status kita, apa pun stasus ibubapa kita, kita akan tetap kembali ke tanah.  Dengan balutan pakaian yang tidak diperbuat dari sutera, tidak juga dari satin, maupun english cotton berbunga ceria. Tapi hanya dengan sepasang kain cotton putih bersih tanpa noda. Itulah pakaian kita walaupun kita seorang raja di dunia ini.  


Di sana nanti, tidak kira apa status kita di dunia ini, apa pangkat kita di dunia ini, cantikkah kita di dunia ini, kita semua akan menuai hasil yang telah kita semai bertahun-tahun ketika di dunia dulu. Jika usaha kita A++, itulah hasil yang akan kita raikan di akhirat nanti.  Kita akan "naik ke pentas Allah" sebagai seorang hamba A++. Disana nanti kita akan di hisab secara individu. Walaupun kita cuba untuk menyalahkan orang lain atas apa yang kita lakukan tetapi at the end of the day, kitalah yang akan bertanggungjawab atas setiap perbuatan yang  telah kita buat di duniai ni. Di mana kita di akhirat nanti, adalah hasil usaha kita di dunia ini. Andai syurga idamannya, di dunia lagi perlu diusahakan agar dapat diberikan syurga sebagai ganjarannya.

Monday, May 20, 2013

Camera analog @ digital?


Ada satu cerita cartoon kanak-kanak. Dia suka aksi-aksi lasak.  Suatu hari ada la pertandingan untuk mencari "new faces" untuk iklan seorang  lagak ngeri. Jadi diminta sahabatnya untuk mengambil gambar-gambar lagak ngerinya untuk dihantar ke pertandingan itu. Disebabkan menggunakan camera analog (camera lama,dengan film), setelah selesai  ambil semua aksi-aksi menarik kawannya dia pun balik untuk cuci gambar-gambar tersebut.  Tetapi hasilnya bukanlah gambar secara keseluruhan setiap aksi lagak ngeri tetapi sekeping ada kepala, sekeping ada tangan, sekeping ada kaki yg pastinya tidak menggambarkan langsung sebarang aktiviti lagak ngeri yang cantik! Itulah kaedah camera dulu-dulu, ambil gambar..ambil gambar, habis segulung film baru boleh hantar untuk dicuci. Apa yang terpapar setelah dicuci itulah hasilnya tanpa dapat diedit atau ditouchup apa-apa lagi.  Itulah hasil yang 'hakiki'
 Tapi teknologi kamera sekarang. kamera digital lain pula.  Kita boleh  click sekali, kemudian check dulu "alamak terpejam mata!" - delete, ambil semula sehingga puas hati. Hasil yang akan kita dapat diakhir
nanti adalah hasil yang telah kita puas hati dengannya. 

Kehidupan kita di dunia ini sebaiknya biarlah seperti teknologi kamera digital itu. Kita buat sesuatu berhenti dulu dan check ianya "cantik" dan menepati agama Islam? Itu dinamakan muhasabah. Jika tidak, bertekad untuk membuat lebih baik dimasa hadapan dan tidak diulangi lagi kesalahan kita. Biar dari hari ke hari hasilnya hanyalah yang cantik dan cemerlang sahaja.

Jangan kita jadi seperti teknologi kamera analog, kita perasan saja dengan aksi-aksi menarik kita, tapi realitinya yang diambil tanpa kepala, senget sebelah,pudar... tetapi semua itu hanya kita sedar apabila segalanya telah terlambat! Disaat kita tiada lagi peluang  untuk "mencantikkannya", tak boleh nak “touchup" apa-apa lagi! Peluang  itu telah terlepas dari kita.

Semoga dapat apa yang tersirat disebalik yang  tersurat...







Lest a soul should say, "Oh [how great is] my regret over what I neglected in regard to Allah and that I was among the mockers."

"(Diperintahkan demikian) supaya jangan seseorang (menyesal dengan) berkata: ` sungguh besar sesal dan kecewaku kerana aku telah mencuaikan kewajipan-kewajipanku terhadap Allah serta aku telah menjadi dari orang-orang yang sungguh memperolok-olokkan (ugama Allah dan penganut-penganutnya)! -

Wednesday, May 8, 2013

Sekadar luahan..



Masa kecil2 dulu, pilihanraya? Apabenda tu? Yang tau time-time macam tu, kampung meriah dengan bendera. Sana sini ceramah.  Mulalah orang 'besaq-besaq" masuk kampung. Tapi ada kami kesah? Naaa.... life move on as usual..main, makan, tidur, main lagi, makan lagi, tidur lagi...itulah kehidupan anak-anak kampung. Time main...main, time belajar pun main :-D.  Sekolah rendah dikampung, apa sangatlahkan... Ke sekolah sebab seronok jumpa kawan nak main. Mana ada main hide and seek kat ipad ke iphone ke, yang ada polissentry, batu seremban, guli, lompat getah, galah panjang (main toi kata org utara), main teng-teng, congkak, aci ligan.... Tak main la sembunyi2 dalm komputer, tembak2 dalam ipad, bandminton dalam wii :-D. Nak cakap hal politik, politik pondok2 ada la..

Tapi anak-anak sekarang, celik-celik mata nampak iphone (sebab ayah dok ambil gambar guna iphone!). Baru 6 bulan dah kenal komputer. Umur 2 tahun dah boleh main "angry bird". 3 tahun dah boleh ON komputer sendiri.  12 tahun dah celik apa itu pilihanraya! Pilihanraya macammana yang adil, pilihanraya macamaman yg telus, pilihanraya mana yang penuh "hanturaya". Mereka belajar apa itu pimpinan dan siapa  yang mereka pimpin. Mak ayah selalu ajar "jangan mencuri...dosa besar". Tapi masa pilihanraya mereka dengar "sana curi, sini curi".  Mereka diajar "tak boleh rasuah adik macam tu!" Tapi, pemimpin dikatakan bagi rasuah lagi teruk, bukan setakat bagi sugus singgit, juta-juta maa..! Anak-anak dibagitau "Jangan cakap cina itu cina ini, macam la anak2 ummi ni keturunan melayu asli!" Tapi bila mereka baca surat khabar, pemimpin cakap, cina itu, cina ini, india itu, india ini...!! Contoh apa yang pimpinan kita paparkan pada anak-anak rakyat mereka ini?

Apa contoh terbaik untuk mereka contohi pimpinannya? Suruh baca seerah, boleh la baca tapi anak-anak zaman ipad, iphone ni perlukan contoh physical yang mereka boleh nampak. Jadi nak suruh contohi pihak pemerintah? Nahi..nahi... mereka sendiri pun tau mana salah mana betul. Macammana nak jadi contoh, anak isteri freehair! Anak-anak kita, time ada kawan nak masuk, mereka cakap kat kawan 'kejap". Then cari ummi "ummi pakai tudung, kawan nak masuk"

Contoh terbaik pemimpin yang ada sekarang Tuan Guru Nik Aziz. Dah kena cop pembangkang, tak bersyukur... tak ke konfius anak-anak ummi ni.  Tapi alhamdulillah mereka dapat bezakan mana yang betul mana yang salah. Hati mereka masih bersih dan tidak ditutup oleh Allah untuk melihat kebenaran. Tidak seperti sebahagian dari kita yang sudah berumur, yang mungkin jua telah ditutup hatinya dari melihat kebenaran. Tak dapat lagi membezakan, mana yang zalim, mana yang adil, mana yang telus, mana  yang hitam, mana yang wangi mana yang busuk, mana Malaysian, mana Bangladeshian!

Thursday, April 25, 2013

Aku terima nikahnya 2 X


Baru-baru ni software phone "pening" dan membuat phone terus "pitam". Yang buat tuan phone "pingsan" bila phonebook tak sempat nak backup! Fenin...fenin...

Selepas seminggu phone di "hospital S" kembalilah dia dengan perisian yang baru kepada tuannya. Tapi phonebook, nil, zero, kosong..kosong... kosong... (kena nyanyi lagu najwa la pulak!").

Untuk memenuhkan semula phonebook, mulalah message kawan-kawan. Dalam sibuk mengutip phone number, dapat message dari kawan lama yg lama dah gak tak contact. No phone tak bagi tapi bagi cerita lain!
S:"Su, aku nak poligami 2 minggu lagi"

Me : "Wow.. hang ni biaq betui! 2 minggu lagi orang dok sibuk dgn PRU la. Hang ni redha tak ni? Apa pun make sure settlekan harta sepencarian. Being the choosen one, insyaallah Allah bersamamu. Perlukan apa-apa bagitau .Insyaallah hal perundangan bolehlah tolong sikit2."

S: "Dah settle. Minggu depan naik court. Semua harta sebelum second marriage dah declare."

Me: "ok alhamdulillah. Redha tak ni?"

S: "Mana tak redha....aku paksa dia kawin sb nak tolong adik tu. Sampai aku rasa aku yg kena pegang tok kadi. Mak adik tu nangis masa aku pi pinang."

Me: "Baguihnya hang...semoga Allah membalas jihad hang ni dengan syurga. I won't be able to do that :-("

S: "Setiap hamba ujiannya berbeza, jihad pun tak sama....kannn"

Me: "Semoga Allah merahmati dan mempermudahkan urusan hang sekeluarga dunia dan akhirat. Semoga menjadi keluarga contoh.

Termanggu seketika mendapat berita ini. Kawan saya ni yang paling lewat nikah antara kami. Sebelum keluar negara lagi untuk sambung belajar dia memang dah "declare" telah bersedia untuk mengalas tanggungjawab menjadi isteri. Tetapi jodohnya lambat, mostly kami telah berumahtangga ataupun bila habis study akan pulang untuk melangsungkan perkahwinan, dia masih solo.

Semoga istikharah dan ijtihadnya tentang ini dirahmati dan diredhai oleh Allah. Semoga Allah akan kurniakan rumahtangga yang rahmah dan sakinah di dunia dan akhirat. Pastinya diri ini tidak akan mampu untuk melakukan jihad yang begitu.

"Siapakah orangnya yang (mahu) memberikan pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman yang baik (yang ikhlas) supaya Allah melipatgandakan balasannya dengan berganda-ganda banyaknya? Dan (ingatlah), Allah jualah Yang menyempit dan Yang meluaskan (pemberian rezeki) dan kepadaNyalah kamu semua dikembalikan." (Al-Baqarah 2:245

Oh....

Monday, April 22, 2013

My other car is a Rolls Royce


Terlihat satu signage kat belakang kereta kancil "My other car is a Rolls Royce".
Apa yg terdetik dihati kita kalau ternampak signage tu? Dari satu segi nak bagitau yang "walaupun saya naik kancil hari ni tapi saya kayaaa sebenarnya!". Dari segi yang lain, sekadar bahan lawak saja. "Main-main saja" kata anak lelaki saya bila dia buat sesuatu yang nampak serius tapi zahirnya tidak.

Itulah sifat kita manusia. Kekadang kita tak miliki apa pun tetapi sebab nak menunjuk juga (ego??), kita cakap kat orang kita ada itu ini yang pastinya lebih mahal, lebih cantik dan segala macam lebih lagi dari orang yang kita lawan cakap itu. Apa yang lebih yang kita miliki ingin saja kita nak khabarkan satu dunia kalau boleh. Bangga kita dengan apa yang kita miliki.Macam itulah milik kita yang hakiki. Sedangkan hakikatnya, kita tidak miliki apa-apa di dunia ini. Segalanya hanyalah pinjaman semata-mata.


"Wahai kaumku! Sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah kesenangan (untuk sementara waktu sahaja), dan sesungguhnya hari akhirat itulah sahaja negeri yang kekal."  (Ghaafir 40:39)



"Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Tetap  hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan (sekalian makhlukNya).  Yang tidak mengantuk usahkan tidur. Yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Tiada sesiapa yang dapat memberi syafaat (pertolongan) di sisiNya melainkan dengan izinNya. yang mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka, sedang mereka tidak mengetahui sesuatu pun dari (kandungan) ilmu Allah melainkan apa yang Allah kehendaki (memberitahu kepadanya). Luasnya Kursi Allah (ilmuNya dan kekuasaanNya) meliputi langit dan bumi; dan tiadalah menjadi keberatan kepada Allah menjaga serta memelihara keduanya. Dan Dia lah Yang Maha Tinggi (darjat kemuliaanNya), lagi Maha Besar (kekuasaanNya)"(Al-Baqarah 2:255)



Thursday, March 21, 2013

Merentas desa di kota...


Acara tahunan sekolah di bandar ini masih dinamakan "merentas desa".  Entah kenapa masih belum berubah namanya sedangkan bukan desa lagi yang direntasi dibandar batu ini.  Anak-anak yang membesar dicelah-celah bandar batu ini tidak merasai apa itu acara merentas desa yang sebenarnya.

Teringat dizaman sekolah dulu, acara merentas desa ini antara acara yang seronok tapi tak larat nak ikut serta.  Satu seronok dapat masuk ke kebun getah, berlari dibatas bendang (sawah), melalui tali air, melihat alam ciptaan Allah yang begitu indah ini.  Suasana di kampung juga berlainan.  Nyaman dan menyegarkan diwaktu pagi.  Hidup dengan berbagai hidupan, liar dan jinak. Kicauan burung disana sini, bukan deruman kenderaan.  Desiran angin menyentuh dedaun, gemersik, pemandangan saujana mata memandang. Suasana dan persekitaran yang sentiasa dirindui.......

Yang tak seronoknya merentas desa ini adalah jaraknya, mak aiii... lagi tinggi darjah kesenioran disekolah lagi jauhlah jaraknya! Dengan latihan pun ala kadar, lelah lah nak habiskan larian berkilometer tu. Tapi selalunya demi semangat kesukanan dan kerumahan (ada ke??) pasti tetap dihabiskan juga larian ini.

Merentas desa disebuah desa
Berlainan sekali iramanya
Bukan sekadar memenuhi masa
Tapi terisi dengan keindahan ciptaanNya
Kehijauan padi menyejukkan mata
Kekuningannya penenang jiwa
Kicauan burung memeriahkan suasana

Tapi berlainan sekali suasananya
Merentas desa di bandaraya
Walau nama tetap sama
Tapi suasana amat berbeza
Deruman kenderaan membingit telinga
Ketidaksabaran si pemandu kereta
Akibat perjalanan kini tergendala
Dek acara "merentas desa"

Tapi mereka tetap gembira
Dapat menyumbangkan sebutir dua
Jumlah mata tetap dikira
Semangat kesukanan tetap dipelihara
Biarlah asal mereka bahagia...

Thursday, March 7, 2013

tarbiyyah paip pecah dan sinki bocor...


"Ujian adalah
Tarbiyyah dari Allah
Apakah kitakan sabar
Ataupun sebaliknya.."

Begitulah bait-bait lagu nyayian asalnya oleh The Zikr, tapi dirakam semula oleh Raihan atau Nazeri saja, tak pasti.

Ya.. ujian adalah tarbiyyah dari Allah.  Apakah kita akan menjadi hambanya yang berjaya atau pun hambanya yang kufur dek kegagalan mengharungi ujian itu.  Setiap ujian yang menimpa kita pastinya ada hikmah dan tarbiyyah yang ingin Allah berikan pada kita.

Teringat pada tahun 2006, ketika suami perlu ke luar negara selama 6 bulan.  Itulah pertama kali kami berpisah lama didalam masa perkahwinan kami. (Tak faham macammana pasangan muda sekarang sanggup menjadikan trend weekend wife or weekend husband! Apakah kerjaya adalah segala-galanya?).  Selepas menghantar suami ke airport bermulalah episod lemah longlai, tak bermaya, tak larat nak bangun, kalau boleh nak tidur saja dan tak mau diganggu. (Tu baru berpisah 6 bulan, kalau berpisah selama-lamanya, tak taulah macam mana pula episodnya).  Walaupun anak-anak ada tetapi kekuatan diri ini tidak ada!

Tapi Allahkan berfirman dalam surah Al Baqarah, 2 ayat 286 yang bermaksud
"Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya."

Allah tahu kita mampu, kita saja rasa kita tidak mampu. Malam pertama pemergian suami, terdengar bunyi macam air terjun kat luar rumah.

"hmm..sejak bila pula ada ai terjun ni!!..Bunyi apa sebenarnya", hati berbicara sendiri.  Nak keluar dengan amaran-amaran yang didengari tentang perbuatan jahat manusia durjana untuk "mengeluarkan" penghuni rumah dengan membuka air paip diluar rumah mengekang diri ini dari keluar memeriksa apa yang berlaku.  Tetapi apabila bunyi tu masih kedengaran setelah beberapa lama, diri ini memberanikan juga untuk menjenguk keluar.  Kelihatan paip air tak terbuka, jadi bunyi apa yang masih setia mengeluarkan bunyi ya!

Keluar juga memeriksa, Ya Allah, paip pecah rupanya ditimpa bata yang entah dari mana datangnya!  Malam-malam ni nak buat apa?  Dah tengah malam nak minta tolong sesiapa. Cuba untuk menghentikan pengaliran air tetapi tidak berjaya, hanya dapat menghentikanya dengan menutup kepala paip utama.  Tidak berairlah rumah kami sepanjang malam dan hingga esoknya.

Esoknya awal-awal pagi telefon biras yang tinggal berdekatan kerana abang ipar pandai bab-bab baiki ni.  Tapi dapat tahu abg ipar tidak dalam "good mood".  Oh! terasa begitu keseorangan sekali.  Tetapi tarbiyyah Allah itu datang dari sumber yang tidak disangka-sangka.  Disaat merasakan tidak mampu untuk hidup tanpa suami disisi, Allah turunkan pengajarannya sebagaimana firmannya dalam surah Al-Baqarah ayat 286 itu.  Ujian paip pecah ini adalah cara Allah tarbiyyahkan diri ini bahawa "kau mampu".  Melihat ke arah paip yang dah kering tu, Allah datangkan idea "aku mampu baikinya sendiri ni".  Berbekalkan sedikit pengalaman dan pengetahuan melihat suami dan arwah ayah baiki paip, paip itu alhamdulillah dapat dibaiki setelah Allah memudahkannya dengan adanya segala kelengkapan untuk membaiki paip (gergaji, gam dan paip penyambung) :-D.  Alhamdulillah. Pentarbiyyah pertama dari Allah, "kau mampu".

Habis bab paip, tengaharinya , dalam sibuk nak masak, sinki pula tersumbat. Dah la tersumbat dalam dok godek-godek nak cuci , dush!! tercabut besi yang lubang2 (filter) antara singki dan penyambung paip (sinki lama). Alamak! macammana nak sambung balik ni!! Bawa keluar ke belakang rumah, tengah dok cuci-cuci sambil berfikir macamana la nak sambung ni... Dah habih akal dah tak tau macamana nak buat, kakak sebelah keluar.

K.Siti : "Rajinnya cuci sinki".

Aku: "Tersumbatlah kak, dah tu ni haa tercabut pulak!"

K.Siti:"Akak pun pernah tercabut jugak dulu, kena skru balik dari bawah ..bla..bla..."

Aku:"Terima kasih kak".  Dengan senyum sebab dah dapat jawapan pada persoalan yang lebih susah dari soalan C programming :-D

Itulah dua tarbiyyah yang Allah berikan, disaat diri ini terasa tak mampu nak bergerak atau buat apa-apa.  Bukan tak mampu sebenarnyakan tapi tak mahu... Tarbiyyah itu menyedarkankan diri ini bahawa ujian perpisahan ini mampu untuk kuharungi sebab itu Allah pilih aku untuk menghadapinya.  Tarbiyyah ini juga menyedarkan aku agar tidak selamanya bergantung kepada suami dalam hal-hal pembaikan ini.  Kalau tak sendiri baiki pun setidak-tidaknya tahu macammana nak menyelenggara dan membaikinya.

Ya..benar..ujian adalah tarbiyyah dari Allah.  Semoga kita menjadi hamba-hambaNya yang berjaya disetiap ujian yang Allah kurniakan pada kita kerana "Setiap ujian yang datang itu , hadir dengan nama kita tertulis diatasnya.  Jangan ditanya 'kenapa aku?' Tetapi tanyalah 'kenapa tidak aku!" - Dari Dr Harlina".

Yang sukar adalah untuk mengekalkan momentum setelah tarbiyyah itu diperolehi sebagaimana sukarnya untuk mengekalkan kemabruran haji! Ujian kesenangan pastikan lebih susah untuk diharungi...

Wednesday, February 6, 2013

Matematik sedekah


"Sesiapa yang membawa amal kebaikan (pada hari kiamat), maka baginya (balasan) sepuluh kali ganda (dari kebaikan) yang sama dengannya; dan sesiapa yang membawa amal kejahatan, maka ia tidak dibalas melainkan (kejahatan) yang sama dengannya; sedang mereka tidak dianiaya (sedikitpun)." (Al-An'aam 6:160) 



Dari ayat ini Ustaz Yusuf Mansur memberi gambaran matematik sedekah yang amat berbeza dari yang kita pelajari.

Matematik biasa yang kita belajar dari tadika lagi,

10 - 1 = 9
10 - 2 = 8
10 - 3 = 7  dan seterusnya.

Tetapi ilmu matematik sedekah adalah seperti berikut

10 - 1 = 19

10 - 2 = 28 
10 - 3 = 37
10 - 4 = 46
10 - 5 = 55
10 - 6 = 64
10 - 7 = 73
10 - 8 = 82
10 - 9 = 91
10 - 10 = 100

How come maa??

Allah berjanji dalam surah Al An'aam:160 diatas akan melipat gandakan amal kebaikan kita sepuluh kali ganda, jadi
10 - 2 = 28   ( derma 2, Allah balas 10 kali ganda, 2*10 = 20, tambah lagi 8 = 28)

Maksud tersirat lain, kalau kita ada RM10 dan kita derma RM 1, pahala yang akan kita dapat tidak sama sekiranya kita ada RM10 dan derma RM10!  Fair right! :-D


Thursday, January 31, 2013

Janganlah...

Di dalam usia yang semakin meningkat, lutut ada yang mula terasa nyilu-nyilu bila naik tangga, diri ini mula terasa risau.  Apatah lagi melihat kakak-kakak yang mula bersolat diatas kerusi. Semoga diri ini tidak sampai begitu jadinya sehingga hujung nyawa.

"Ya Allah, tidak mahu aku kehilangan rasa nikmat sujud kepadaMu. Sujud yang sebenar-benar sujud.  Tanda rendahnya hambaMu ini berbanding denganMu. Untuk terus mengingatkan diri ini, nikmatMu yang manakah yang ingin aku dustakan?"


 "Sujudlah dan dekatkanlah (dirimu kepada Tuhan)." (QS Al-'Alaq: 19).

 "Sesungguhnya saat yang paling dekat antara seorang hamba dengan  Tuhannya adalah ketika ia sedang sujud" (HR. Muslim).

Thursday, January 17, 2013

4 golongan - dimana kita?

Berada di bulan pertama di tahun baru ni terasa macam bermimpi.  Terasa tak percaya yang setahun lagi telah berlalu.  Begitu cepat masa berlalu. Melewati tahun baru ni terasa macam "eh! baru je buat ni, dah kena ulang semula!".  Apapun kehidupan yang telah berlalu tidak akan kembali lagi.  Masa yang berlalu bermakna setahun hidup kita telah berlalu. Semoga setahun itu dikira sebagai ibadah kepada Allah.  Setahun yang berlalu bermakna setahun lagi kita menghampiri saat kematian kita.  Tak gitu?

Tahun ini alhamdulillah, masih lagi dapat menabur bakti bersama adik-adik di Raudhatus Sakinah.  Semoga perkongsian ada manfaatnya. Nak kongsi sikit apa yang telah di kongsikan bersama adik-adik di RS.

Ikhlas dan empat jenis orang

 Jenis Pertama ialah orang yang beramal dengan ikhlas lalu dia memperoleh pelbagai manfaat di sebalik amal itu sehingga akhirnya menjadikan dirinya bertambah-tambah ikhlas. Orang jenis pertama ini adalah yang terbaik.  Jenis Kedua ialah orang yang pada awalnya tidak ikhlas dalam beramal. Namun semasa atau setelah beramal dia menemui pelbagai manfaat hingga akhirnya dia meneruskan amal itu dengan hati yang ikhlas. Jenis kedua ini ialah orang yang beruntung. Jenis Ketiga ialah orang yang pada awalnya ikhlas namun semasa atau selepas beramal hatinya berubah kepada meraih pujian orang atau mengharapkan keuntungan duniawi. Orang seperti ini ialah mereka yang menzalimi diri sendiri.  Jenis Keempat ialah orang yang pada awalnya tidak ikhlas dan semasa atau selepas beramal, dia semakin tidak ikhlas dan melakukan amalan itu semata-mata kerana pujian orang atau keuntungan duniawi.

Semoga kita tergolong di dalam golongan yang pertama kerana rukun bagi amalan yang diterima adalah

1) Ikhlas
2) Bertepatan dengan sunnah dan syara'


rukun yang pertama tercapailah kesahihan batin dan dengan yang kedua tercapailah kesahihan lahir

Wednesday, January 16, 2013

Ibu dan terataknya

Kadangkala kita terasa hati bila ibu kita macam tak mau nak berlama-lama di rumah kita.  Kejap saja nak balik dah.  Kekadang tu puas kita pujuk suruh datang, tapi tak maunya dia! Sedangkan pada kita 'mama datang saja, tak yah buat apa-apa, mama dok saja kat rumah kami.  Lagipun apa yang tak ada kat rumah kami tu, semua ada, insyaallah, tak menyusahkan mama".  Tetap juga tidak mahunya mak kita mengikut kita.

Dalam usia yang semakin meningkat ini, terasa diri ini mula faham kenapa ibu kita begitu.  Sekarang kalau keluar terlalu lama apabila sampai dirumah, terasa "Oh! rumahku syurgaku".  Tak ada tempat yang paling best selain dapat pulang semula ke rumah.  Terasa kuat sekali ikatannya dengan rumah kita.

Begitulah juga rasanya ibu kita dengan rumahnya.  Rumah yang dibina oleh suaminya.  Rumah di mana dia menyemai kasih, membina kehidupan, membesarkan anak-anak; suka dukanya semuanya tersemat dan tersemai di rumah itu. Setiap ruang yang ada, setiap ceruk yang dimiliki ada ceritanya tersendiri buat ibu kita. Apatah lagi jika suaminya kini tiada lagi disisi.  Walau apapun keadaan rumah kita, walau betapa cantik dan lengkapnya rumah kita pastinya tidak mungkin dapat menandingi rumah yang telah didiami dengan kasih sayang dan air mata, yang telah dibina dengan kerengat dan pengorbanan, yang tersemai seribu satu kenangan bersama suami dan anak-anak tercinta, pastinya tidak sama.



"Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan"



"Dan ia taat serta berbuat baik kepada ibu bapanya, dan ia pula tidak sombong angkuh atau derhaka." (Maryam 19:14) 

Friday, January 11, 2013

"Ya Allah, ku terima ujianMu ini dengan redha.  Semoga ianya menjadi kafarah buat segala dosaku. Ianya menjadi muhasabah buat diri atas terlalu banyak pembaziran yang dilakukan.  Sesungguhnya dengan hidup sekadarnya, atas apa yang dimiliki tidak pun menjadi onar atau nanah yang menyesakkan.  Semoga tarbiyyah disaat diuji akan terus berkekalan dalam menjadi diri ini hambaMu yang lebih solehah, beriman dan bertaqwa.

Ya Allah ampunkan aku atas segalanya
Ampunkan aku atas amanah yang aku khianati
Ampunkan aku atas janji yang aku mungkiri
Ampunkan aku atas nikmat yang tidak kusyukuri
Ampunkan aku atas dosa yang kuulangi
Ampunkan aku ya Allah..ampunkan Aku..
Tiada apa yang lebih ku inginkan selain dari KeampunanMu


Taubat seorang hamba -Hafiz Hamidon

                               

Friday, January 4, 2013

New year!

Dah 4 hari di tahun baru Masihi.  Tahun baru Hijrah dah lama kita lalui.  Selalunya yang meriah hanyalah di tahun baru Masihi tetapi kebanyakannya hanya diisin dengan program yang tidak meningkatkan darjat iman.

Tahun baru bermakna setahun lagi kehidupan kita telah berlalu.  Apakah yang telah kita isi selama setahun kehidupan kita yang berlalu itu?  Setahun bermakna 365 hari bersamaan 8760 jam bersamaan 525600 minit telah kita habiskan. Itu belum dikira dah berapa tahun kita hidup di dunia ini!

Semoga tahun ini, 365 hari yang bakal kita lalui akan lebih baik dari yang sebelumnya.  Tanamlah di tahun ini dengan benih-benih amalan yang baik semoga tuaian kita diakhirat nanti adalah yang terbaik hasil benih yang baik.


"Kecuali orang-orang yang bertaubat (dari perbuatan munafik itu) dan memperbaiki amalan mereka (yang salah), dan mereka pula berpegang teguh kepada (agama) Allah, serta mengerjakan agama mereka dengan ikhlas kerana Allah, maka mereka yang demikian itu ditempatkan bersama-sama orang-orang yang beriman (di dalam Syurga); dan Allah akan memberikan orang-orang yang beriman itu pahala yang amat besar. " (An-Nisaa' 4:146)

"Mereka itulah orang-orang yang membeli (mengutamakan) kehidupan dunia (dan kesenangannya) dengan (meninggalkan perintah-perintah Allah yang membawa kebahagiaan dalam kehidupan) akhirat; maka tidak akan diringankan azab seksa mereka (pada hari kiamat), dan mereka pula tidak akan diberikan pertolongan." (Al-Baqarah 2:86


"Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya."