Monday, April 9, 2012

Ada...Tiada...Ada


Coklat kek... kebanyakan dari kita memang suka sesuatu yang ada unsur coklat ni.  Anak-anak saya juga begitu.  Memang larislah kalau buat coklat kek ni. Saya selalunya malas nak buat  kek, sebab pengalaman yang lepas 'renyah' buat kek ni.  Tapi sejak dapat resepi yang mudah buat coklat kek, seronok pula nak buat. Walaupun setiap kali buat tu macam-macam rupa jadinya tapi rasanya tetap sama.

Kalau dah ada bahan-bahan untuk kita membuat sesuatu perkara itu dengan resepi yang betul dan ringkas, pasti kita rasa mudah untuk melakukankanya.  Dari bahan-bahan asas diadun menjadikan kek yang nyummy lazat..walaupun tidak sempurna tapi tanpa bahan-bahannya dan resepi yang betul, susah nak buat kek atau sesuatu kuih muih itu.  

Apa yang pasti kalau ada bahan-bahan kerja menjadi mudah. Dari tiada kemudian ada dan kemudian tiada semula.

Dalam kekuasaan Allah, di dalam Alquran ada pertanyaan, 

"Adakah (kita akan kembali hidup) sesudah kita mati dan menjadi tanah? Itu adalah cara kembali yang jauh (dari kemungkinan, kerana jasad yang telah hancur tidak dapat diketahui lagi)". (Qaaf 50:3) 

"Bolehkah (dihidupkan semula) sesudah kita menjadi tulang yang reput?" An-Naazi'aat,79:11

Kita dijadikan oleh Allah dari tanah, Allah "mengadun" kita dari tanah, dibakar untuk membentuk kita sebagai manusia.

"Ia menciptakan manusia (lembaga Adam) dari tanah liat kering seperti tembikar" (Ar-Rahmaan 55:14) 

"Sesungguhnya perbandingan (kejadian) Nabi Isa di sisi Allah adalah sama seperti (kejadian) Nabi Adam. Allah telah menciptakan Adam dari tanah lalu berfirman kepadanya: "Jadilah  engkau!" maka menjadilah ia."
(A-li'Imraan 3:59) 

"Dia lah yang menciptakan kamu dari tanah, kemudian Ia tentukan ajal (kematian kamu) dan satu ajal lagi yang tertentu di sisiNya (iaitu masa yang telah ditetapkan untuk dibangkitkan kamu semula pada hari kiamat); dalam pada itu, kamu masih ragu-ragu (tentang hari pembalasan)." (Al-An'aam 6:2)

"Iblis menjawab: "Aku tidak patut sujud kepada manusia yang Engkau jadikan dia dari tanah  liat yang kering, yang berasal dari tanah kental yang berubah warna dan baunya". (Al-Hijr 15:33)

"Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami berfirman kepada malaikat: "Sujudlah kamu kepada Adam"; maka mereka sujudlah melainkan iblis; ia berkata: "Patutkah aku sujud kepada  (makhluk) yang Engkau jadikan dari tanah (yang di adun)?"(Al-Israa' 17:61) |


Apabila kita mati, kita akan kembali menjadi tanah

"Bolehkah (dihidupkan semula) sesudah kita menjadi tulang yang reput?" An-Naazi'aat,79:11

"Adakah sesudah kita mati dan menjadi tanah dan tulang, adakah kita akan (dihidupkan semula  serta) dibalas apa yang telah kita lakukan?" As-Saaffaat,37:53
"Katakanlah: Tulang-tulang yang hancur itu akan dihidupkan oleh Tuhan yang telah menciptakannya pada awal mula wujudnya dan Dia Maha Mengetahui akan segala keadaan makhluk-makhluk (yang diciptakanNya)."Yaa Siin,36:79

"Patutkah ia menjanjikan kamu, bahawa sesungguhnya apabila kamu mati dan menjadi tanah dan tulang, kamu akan dikeluarkan (dari kubur hidup semula)? (Al-Mu'minuun 23:35)


Maksudnya, setelah kita mati dan menjadi tulang dan tanah semula, tidaklah susah untuk Allah kembalikan kita menjadi manusia kerana unsur-unsur kita telah ada di dalam tanah itu. Kalau cukup bahan-bahan senangkan nak buat kek?  Itu kita.  Tapi Allah yang Maha berkuasa dan Maha Pencipta lebih senang untuk membangkitkan semula kita bagi menghisap atas segala amalan yang kita lakukan didunia ini.  Senang-sesenang senangnya... Dari Ada ke Tiada dan kemudia Ada kembali.

(Setelah nyata kekuasaan Kami) maka bertanyalah (wahai Muhammad) kepada mereka (yang ingkarkan hidupnya semula orang-orang mati): Adakah diri mereka lebih sukar hendak diciptakan, atau makhluk-makhluk lain yang Kami telah ciptakan? Sesungguhnya Kami telah mencipta mereka dari tanah liat (yang senang diubah dan diciptakan semula). (As-Saaffaat 37:11)

Dia lah yang menciptakan kamu dari tanah, kemudian dari (setitis) air benih, kemudian dari  sebuku darah beku, kemudian dari seketul daging; kemudian Ia mengeluarkan kamu berupa  kanak-kanak; kemudian kamu (dipelihara) hingga sampai ke peringkat umur dewasa; kemudian  kamu (dipanjangkan umur) hingga sampai menjadi tua. Dan (dalam pada itu) ada di antara kamu  yang dimatikan sebelum itu. (Allah melakukan kejadian yang demikian) supaya kamu sampai ke masa yang ditentukan (untuk menerima balasan); dan supaya kamu memahami (hikmat-hikmat kejadian itu dan kekuasaan Tuhan). (Ghaafir 40:67) 

1 comment: