Ramadhan semakin menghampiri...
Semoga Allah temukan kita dengan Ramadhan tahun ini. Bulan yang penuh kerahmatan ini pastikan kita lalui dengan kejayaan yang sebernarnya. Kalau kita berusaha bersungguh-sungguh untuk sebuah kejayaan dalam pekerjaan ataupun pelajaran, semoga kita sama-sama berjaya mengharungi tarbiyyah Ramadhan kali ini dengan lebih berjaya berbanding tahun-tahun sebelumnya. Nikmat yang Allah berikan untuk kita dapat lalui Ramadhan (temukan kami ya Allah, insyaallah..) janganlah kita sia-siakan. Semoga kita mampu untuk memperolehi A diakhir Ramadhan nanti.
Ustaz Zaharudin adalah menulis beberapa tahun yang lalu "Kesilapan Kerap Muslim Dalam Bulan Ramadhan". Semoga bermanfaat.
*********************************************************************
Oleh
Zaharuddin Abd Rahman
Pada hemat saya, kita bolehlah
mengatakan bahawa objektif atau sasaran yang perlu dicapai oleh Muslim di bulan
Ramadhan ini kepada dua yang terutama. Iaitu taqwa dan keampunan. Perihal
objektif taqwa telah disebut dengan jelas di dalam ayat 183 dari surah
al-Baqarah. Manakala objektif ‘mendapatkan keampunan' ternyata dari hadith
sohih tentang Sayyidatina Aisyah r.a yang bertanya kepada nabi doa yang perlu
dibaca tatkala sedar sedang mendapat lailatul qadar. Maka doa ringkas yang diajar
oleh Nabi SAW adalah doa meminta keampunan Allah SWT.
Bagaimanapun, kemampuan untuk
mendapatkan kesempurnaan pahala ramadhan kerap kali tergugat akibat kekurangan
ilmu dan kekurang perihatinan umat Islam kini. Antara yang saya maksudkan
adalah :-
1) Makan dan minum dengan bebas
setelah batal puasa dengan sengaja (bukan kerana uzur yang
diterima Islam). Perlu diketahui bahawa sesiapa yang batal puasanya dengan
sengaja tanpa uzur seperti mengeluarkan mani secara sengaja, merokok, makan dan
minum. Ia dilarang untuk makan dan minum lagi atau melakukan apa jua perkara yang
membatalkan puasa yang lain sepanjang hari itu. (Fiqh as-Siyam, Al-Qaradawi,
hlm 112).
Ia dikira denda yang pertama
baginya selain kewajiban menggantikannya kemudiannya. Keadaan ini disebut di
dalam sebuah hadith, Ertinya : "sesungguhnya sesiapa yang telah makan
(batal puasa) hendaklah ia berpuasa baki waktu harinya itu" (Riwayat
al-Bukhari)
2) Makan sahur di waktu tengah
malam kerana malas bangun di akhir malam. Jelasnya, individu yang
melakukan amalan ini terhalang dari mendapat keberkatan dan kelebihan yang
ditawarkan oleh Nabi SAW malah bercanggah dengan sunnah baginda.
"Sahur" itu sendiri dari sudut bahasanya adalah waktu terakhir di
hujung malam. Para Ulama pula menyebut waktunya adalah 1/6 terakhir malam.
(Awnul Ma'bud, 6/469). Imam Ibn Hajar menegaskan melewatkan sahur adalah lebih
mampu mencapai objektif yang diletakkan oleh Nabi SAW. (Fath al-Bari, 4/138)
3) Bersahur dengan hanya makan
& minum sahaja tanpa ibadah lain. Ini satu lagi kesilapan umat
Islam kini, waktu tersebut pada hakikatnya adalah antara waktu terbaik untuk
beristigfar dan menunaikan solat malam.
Firman Allah ketika memuji
orang mukmin ertinya : " dan ketika waktu-waktu bersahur itu mereka
meminta ampun dan beristighfar" (Az-Zariyyat : 18)
يا
رسول الله , أي الدعاء أسمع ؟ : قال : جوف الليل الأخير ودبر الصلوات المكتوبة
Ertinya : "Ditanya kepada
Nabi (oleh seorang sahabat) : Wahai Rasulullah :" Waktu bilakah doa paling
didengari (oleh Allah s.w.t) ; jawab Nabi : Pada hujung malam (waktu sahur) dan
selepas solat fardhu" ( Riwayat At-Tirmidzi, no 3494 , Tirmidzi &
Al-Qaradhawi : Hadis Hasan ; Lihat Al-Muntaqa , 1/477)
4) Tidak menunaikan solat ketika
berpuasa. Ia adalah satu kesilapan yang maha besar.
Memang benar, solat bukanlah syarat sah puasa. Tetapi ia adalah rukun Islam
yang menjadi tonggak kepada keislaman sesorang. Justeru, ‘ponteng' solat dengan
sengaja akan menyebabkan pahala puasa seseorang itu menjadi ‘kurus kering'
pastinya.
5) Tidak mengutamakan solat Subuh
berjemaah sebagaimana Terawih. Ini jelas suatu kelompongan
yang ada dalam masyarakat tatakala berpuasa. Ramai yang lupa dan tidak
mengetahui kelebihan besar semua solat fardhu berbanding solat sunat,
teruatamnya solat subuh berjemaah yang disebutkan oleh Nabi SAW bagi orang yang
mendirikannya secara berjemaah, maka beroleh pahala menghidupkan seluruh malam.
6) Menunaikan solat terawih di
masjid dengan niat inginkan meriah. Malanglah mereka kerana
setiap amalan di kira dengan niat, jika niat utama seseorang itu ( samada
lelaki atau wanita) hadir ke masjid adalah untuk meriah dan bukannya atas dasar
keimanan dan mengharap ganjaran redha Allah sebagaimana yang ditetapkan oleh
Nabi SAW di dalam hadith riwayat al-Bukhari. Maka, "Sesungguhnya sesuatu
amalan itu dikira dengan niat". (Riwayat al-Bukhari)
7) Bermalasan dan tidak produktif
dalam kerja-kerja di siang hari dengan alasan berpuasa.
Sedangkan, kerja yang kita lakukan di pejabat dengan niat ibadat pastinya
menambahkan lagi pahala. Justeru, umat Islam sewajarnya memperaktifkan
produktiviti mereka dan bukan mengurangkannya di Ramadhan ini.
8) Memperbanyakkan tidur di siang
hari dengan alasan ia adalah ibadat. Sedangkan Imam As-Sayuti
menegaskan bahawa hadith yang menyebut berkenaan tidur orang berpuasa itu
ibadat adalah amat lemah. (al-Jami' as-Soghir ; Faidhul Qadir, Al-Munawi,
6/291)
9) Menganggap waktu imsak sebagai
‘lampu merah' bagi sahur hingga tidak puasa. Ini adalah kerana waktu imsak sebenarnya tidak lain hanyalah
‘lampu amaran oren' yang di cadangkan oleh beberapa ulama demi mengingatkan
bahawa waktu sahur sudah hampir tamat. Ia bukanlah waktu tamat untuk makan
sahur, tetapi waktu amaran sahaja. Lalu, janganlah ada yang
memberi alasan lewat bangun dan sudah masuk imsak lalu tidak dapat berpuasa
pada hari itu. Atau jangan sesekali masih makan melepasi waktu
imsak lalau mengganggap puasanya sudah terbatal. Waktu yang disepakati ulama merupakan waktu penamat sahur adalah
sejurus masuk fajar sadiq (subuh). (As-Siyam, Dr Md ‘Uqlah, hlm 278)
10) Wanita berterawih beramai-ramai
di masjid tanpa menjaga aurat. Ini nyata apabila ramai
antara wanita walaupun siap bertelekung ke masjid, malangnya kaki dan aurat
mereka kerap terdedah da didedahkan berjalan dan naik tangga masjid di hadapan
jemaah lelaki. Tatkala itu, fadhilat mereka solat di rumah adalah lebih tinggi
dari mendatangkan fitnah buat lelaki ketika di masjid.
11) Memasuki Ramadhan dalam keadaan
harta masih dipenuhi dengan harta haram, samada terlibat dengan
pinjaman rumah, kad kredit, insuran, pelaburan dan kereta secara riba. Ini
sudah tentu akan memberi kesan yang amat nyata kepada kualiti ibadah di bulan
Ramadhan, kerana status orang terlibat dengan riba adalah sama dengan berperang
dengan Allah dan RasulNya, tanpa azam dan usaha untuk mengubahnya dengan segera
di bulan 'tanpa Syaitan' ini, bakal menyaksikan potensi besar untuk gagal terus untuk kembali ke pangkal jalan di
bulan lain.
Nabi Muhammad menceritakan :-
ذَكَرَ
الرَّجُلَ يُطِيلُ السَّفَرَ أَشْعَثَ أَغْبَرَ يَمُدُّ يَدَيْهِ إلى السَّمَاءِ
يا رَبِّ يا رَبِّ وَمَطْعَمُهُ حَرَامٌ وَمَشْرَبُهُ حَرَامٌ وَمَلْبَسُهُ
حَرَامٌ وَغُذِيَ بِالْحَرَامِ فَأَنَّى يُسْتَجَابُ لِذَلِكَ
Ertinya : menyebut
tentang seorang pemuda yang bermusafir dalam perjalanan yang jauh, hal
rambutnya kusut masai, mukanya berdebu di mana dia mengangkat tangan ke langit
: Wahai Tuhanku...wahai Tuhanku... sedangkan makanannya haram, minumannya haram
dan pakaiannya haram..Dan dia dibesarkan dengan memakan makanan haram maka
bagaimana Kami mahu mengabulkan doanya. ( Riwayat Muslim, no 1015, 2/703 ;
hadis sohih)
Justeru, bagaimana Allah mahu
memakbulkan doa orang yang berpuasa sedangkan keretanya haram, rumahnya haram,
kad kreditnya haram, insurannya haram, simpanan banknya haram, pendapatannya
haram?. Benar, kita perlu bersangka baik dengan Allah, tetapi sangka baik tanpa
meloloskan diri dari riba yang haram adalah penipuan kata Imam Hasan Al-Basri.
12) Tidak memperbanyakkan doa
tatkala berpuasa dan berbuka. Ini satu lagi jenis kerugian
yang kerap dilakukan oleh umat Islam. Nabi SAW telah menyebut :-
ثلاثة
لا ترد دعوتهم , الإمام العادل ,
والصائم حتى يفطر ودعوة المظلوم
Ertinya : "Tiga golongan
yang tidak di tolak doa mereka, pemimpin yang adil, individu berpuasa sehingga
berbuka dan doa orang yang di zalimi" ( Riwayat At-Tirmizi, 3595, Hasan
menurut Tirmizi. Ahmad Syakir : Sohih )
Selain itu, doa menjadi
bertambah maqbul tatkala ingin berbuka berdasarkan hadith.
إن
للصائم عند فطره دعوة لا ترد
Ertinya : "Sesungguhnya
bagi orang berpuasa itu ketika berbuka (atau hampir berbuka) doa yang tidak
akan ditolak" ( Riwayat Ibn Majah, no 1753, Al-Busairi : Sanadnya sohih)
Sekian
*********************************************************************