Saturday, February 25, 2012

Kehidupan...


Dalam meniti usia  yang semakin mendekatkan diri ini ke pintu kematian ini, hati ini tertanya-tanya.  Cukupkah segala apa yang telah kulakukan untuk menuju kepersinggahan sementara dalam perjalanan ke kampung halaman yang abadi itu? Taman manakah yang bakal kulewati dan kulalui di perhentian sementara nanti? Satu dari taman-taman syurga atau satu dari taman-taman neraka (nauzubillah).  

Segala macam alasan yang diberi untuk tidak melakukan sesuatu  apakah benar kerana tidak mampu diri ini untuk melakukannya? Atau diri ini sendiri yang tidak memampukan diri sedangkan sebenarnya mampu! 

"Life begin at 40!" Entah "life" manalah yang baru nak bermula setelah 40 tahun menghabiskan usia didunia. Walau apapun semoga kehidupan yang masih berbaki ini lebih baik dari kehidupan yang sebelum ini. Bukan sekadar lebih baik tetapi lebih cemerlang dan gemilang.  

Di dunia ini kita berbangga jika kita mendapat pengiktirafan. Semoga setiap pengiktirafan yang kita miliki di dunia ini adalah juga menifistasi dari pengiktirafan yang bakal kita dapat di sisi Allah.  Jika tidak sia-sia sajalah segala usaha kita untuk mendapat pengiktirafan manusia tapi di sisi Allah tiada nilainya.

Lakukan segala sesuatu hanya untuk mendapat redahnya Ilahi, jangan hanya untuk mendapat redha manusia.  

Ibnu Abbas RA meriwayatkan bahwa Rasulullah SAW melantunkan do’a berikut ini seperti halnya beliau membaca ayat-ayat dari Al-Qur’an: “Ya Allah, sesungguhnya aku memohon perlindungan dan pertolonganmu dari siksa neraka, dari siksa kubur, dari ujian semasa hidup dan ketika mati, dan dari godaan yang berhubungan dengan dajjal.” (Muslim)

Rasulullah Muhammad SAW bersabda: “Membaca Surat Al-Mulk sebagai sebuah kebiasaan rutin akan menyelamatkan seseorang dari siksa kubur.” (Tirmidzi)

Thursday, February 23, 2012

Ujian sebelum bahagia


Bila baca novel ke, tengok drama ke, kebanyakannya pasti ada konflik dan diakhir cerita baru sinar bahagia muncul. Selalunya begitulah, sehingga kadangkala rasa malas nak baca atau tengok!  Tapi itulah lumrah kehidupankan, setelah melalui ujian atau konflik dan diakhirnya terbentang kebahagiaan, ianya adalah satu kemenangan yang manis. Satu kebahagiaan yang amat bermakna.
Begitulah hakikat hidup kita dunia yang sementara ini. Kita disini sementara cuma, kita hanyalah pedagang yang dalam perjalanan pulan ke kampung halaman yang abadi. Untuk memastikan kehidupan yang bahagia dan penuh bermakna di kampung halaman yang abadi, berbagai onak dan duri, berbagai ujian yang perlu kita lalui. Bukankah jika kita berjaya melepasi setiap ujian itu dengan jayanya maka kebahagian yang abadi akan menjadi milik kita?  Setiap ujian bukan untuk membuatkan kita derita tetapi untuk meningkatkan lagi darjat kebahahagiaan yang bakal kita kecapi.

Firman Allah yang bermaksud:

"Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk Syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan harta benda) dan serangan penyakit serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah? Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah)."

Wednesday, February 22, 2012

 Dari Ali ra, katanya: Ingatlah! aku telah mendengar Rasulullah saw bersabda: "Awaslah! sesungguhnya akan berlaku kekacauan dan bala bencana yang besar". Aku bertanya: "Apakah caranya untuk menyelamatkan diri dari bencana itu, Ya Rasulullah?" Baginda menjawab: "(Caranya ialah berpegang teguh kepada ajaran) kitab Allah, ia mengandungi kisah-kisah perihal umat-umat yang terdahulu dari kamu, dan berita perkara-perkara yang akan datang sesudah kamu, serta hukum hakam mengenai apa yang berlaku di antara kamu; (kitab Allah alQuran) dialah yang menjadi pemutus (antara yang benar dengan yang salah), bukan keterangan yang olok-olok; sesiapa jua dari golongan yang sombong angkuh, meninggalkannya (dengan tidak menurut hukumnya): akan dibinasakan oleh Allah, dan sesiapa yang mencari pertunjuk dari yang lainnya - akan disesatkan oleh Allah yang teguh kukuh, dan dialah pengajaran yang menjadi ikutan, dan dialah juga As-Siratul Mustaqim (jalan yang lurus). Dialah kitab yang dengan sebab berpegang teguh kepada ajarannya, hawa nafsu seseorang tidak akan menyeleweng atau terpesong; dan dialah kitab yang kalimah-kalimahnya tidak akan bercampur aduk atau berkesamaran dengan kata-kata makhluk; dan alim ulama tidak merasa puas daripada mengkaji isi kandungannya: (demikian juga) keindahan, kemanisan dan kelazatan membacanya tidak akan susut hilang, meskipun ia dibaca berulang-ulang; dan kandungannya yang menakjubkan, tidak berkesudahan. Dialah kitab yang menjadikan sekumpulan jin semasa mendengarnya tidak tertahan hati menerimanya sehingga mereka memujinya dengan berkata: "Sesungguhnya kami mendengar bacaan alQuran yang menakjubkan, yang memimpin kejalan yang benar, lalu kami beriman kepadanya." (Demikian juga) sesiapa yang memperkatakan sesuatu dengan berdasarkan kitab itu, benarlah perkataannya; dan sesiapa yang beramal dengan ajarannya, diberikan pahala; dan sesiapa yang membuat keputusan berdasarkan hukum-hukumnya, adillah keputusannya; dan sesiapa yang berdakwah supaya orang ramai menurut ajaran-ajarannya, sudah tentu ia (dan mereka) beroleh hidayah pertunjuk yang lurus."(Tirmizi dan Darimi).

Monday, February 20, 2012

MasyaAllah...Subhanallah...


Hari ni terbaca (terbaca? kalau tak cari masakan terbaca ya ;-)) dalam satu blog. Dipaparkan satu gambar yang sangat cantik, pemandangan waktu senja. Pemandangan senja ketika padi menguning, keharmonian warnanya amat menakjubkan. Tapi tak ada gambar nak ditunjukkan disini. Hmm..melalut lak. Bukan tentang keindahan waktu senja ciptaan Allah ini yang ingin ditulis. Tapi tentang pengunaan perkataan "MasyaAllah" dan "Subahanallah".  Rata-rata kita salah tempat menggunakan dua perkataan ini.

MasyaAllah bermaksud jika diterjemahkan lebih kurang adalah “Allah telah berkehendak akan hal itu”, ataupun "semuanya kerana kehendak Allah. Di dalam Al Quran dalam surah Al-Kahfi 18:39 yang bermaksud

“Dan mengapa kamu tidak mengucapkan tatkala kamu memasuki kebunmu “MAA SYAA ALLAH, LAA QUWWATA ILLAA BILLAH” (Sungguh atas kehendak Allah semua ini terwujud, tiada kekuatan kecuali dengan pertolongan Allah).”

Ada juga yang mendefinisikan MasyaAllah sebagai "Allah yang Maha Agung.

MasyaAllah sepatutnya digunakan apabila kita melihat sesuatu keindahan, suatu ketakjuban yang positif terhadap sesuatu perkata.  Seperti

"MasyaAllah, cantiknya pemandangan waktu senja ni"
"MasyaAllah comelnya baby ni"
"MasyaAllah, pandainya dapat 20 A1 dalam SPM"

BUKAN "Subhanallah" sebagaimana yang selalu kita gunakan

Manakala, Subhanallah yang bermaksud Maha Suci Allah, digunakan oleh contoh terbaik kita, Rasullah saw dalam perkara yang pelik atau hairan pada perbuatan yang kurang tepat. Contoh dari  hadith yang diriwayatkan oleh Tirmizi, dari Abu Hurairah ra mafhumnya

"Suatu hari aku berjunub dan ternampak Rasulullah SAW berjalan bersama para sahabat, lantas aku menjauhi mereka dan pulang untuk mandi junub, setelah itu aku datang menemui Rasulullah SAW. Baginda bersabda: Wahai Abu Hurairah, mengapakah engkau melarikan diri tatkala ternampak kami? Aku menjawab: Wahai Rasulullah , aku kotor (berjunub) dan aku tidak selesa untuk bertemu kalian. Rasulullah SAW bersabda: Subhanallah!! sesungguhnya mukmin tidak najis"

Contoh penggunaan Subhanallah dari perbuatan kita

"Subhanallah, boleh awak terfikir nak bunuh diri?"
"Subhanallah, dah nak maghrib, awak belum solat lagi?"


Semoga bermanfaat

Friday, February 17, 2012

Teringat 14 tahun yang lalu (lama dah ya...), ketika itu berada di luar negara, dalam pantang anak yang kedua, suatu hari telefon rumah setelah hampir sebulan tidak telefon.  Bercakap dengan adik dan mama. Tanya "mana ayah?". Adik jawab ayah tidur.  Oklah.. lama bersembang adik minta cakap dengan suami. Lepas borak-borak, dengar nada suara suami macam lain saja, macam ada yang tak kena.  Tak lama suami bagi phone kata mama nak cakap lagi.  Kata mama "Ayah dah tak ada...".  Saat tu tak tau macammana nak cakap perasaan ni. Berpisah dengan ayah pada akhir 2006 untuk keluar negara, rupanya itulah pertemuan terakhir dengan ayah di dunia ini.  Sedihnya hanya Allah yang tahu. Tapi yang pasti, kata-kata mama terngiang-ngiang ditelinga sehingga ke hari ini.  Diawalnya susah betul nak proses dan menerima kenyataan tu.  Terlalu sukar untuk menerima walaupun redha dan percaya akan ketentuan Allah, tapi untuk melalui hari-hari dengan kata-kata yang sentiasa menghantui diri memang menyiksakan.
Entah bagaimanalah hari-hari yang dilalui oleh ibu ini yang mendengar suara anak-anaknya "Mak..tolong, mak tolong..." sebelum segalanya sepi hanya kedengaran semaraknya api.  Si ibu diuji lebih dari apa yang telah saya lalui.  Pastinya suara jeritan anak-anak akan terngiang-ngiang ditelinga ibunya, mengundang kepedihan yang teramat.  Semoga sang ibu akan tabah dan dapat keluar dari kesedihan yang berpanjangan. Di negara kita tidak banyak "support group" bagi meladeni insan-insan yang melalui saat-saat trauma begini. 

Dari Allah kita datang kepadanya kita akan kembali. Segalanya hanyalah pinjaman semata-mata. Tiada satu pun milik kita di dunia ini. Kita lalui hidup yang sementera ini dengan jayanya semoga kebahagiaan abadi menjadi milik kita disana nanti.

Wednesday, February 15, 2012

Jauhi perkara yang membinasakan

Dari Abu Hurairah, ra, bahawa Rasulullah saw, bersabda: "Jauhkan dan singkirkanlah perkara-perkara yang membinasakan." Sahabat-sahabat baginda bertanya: "Apakah dia perkara-perkara itu ya Rasulullah?" Baginda saw menjawab: "(Salah satu yang terbesar di antaranya) ialah melakukan syirik terhadap Allah..." (Bukhari dan Muslim)

Dari Mahmud bin Labid, ra, katanya: Rasulullah saw bersabda: "Sesungguhnya perkara yang sangat -sangat aku takuti akibat buruknya menimpa kamu ialah syirik yang kecil." Sahabat-sahabat Baginda bertanya: "Apa dia syirik yang kecil itu ya Rasulullah?" Baginda saw menjawab: (Syirik yang kecil itu) ialah ria' - Allah Taala akan berfirman pada hari Qiamat apabila manusia datang dengan amal masing-masing: "Pergilah kepada mereka yang kamu melakukan ria' di dunia dahulu (untuk menunjukkan kepada mereka), kemudian lihatlah, adakah kamu akan dapati sebarang balasan di sisi mereka?" (Imam Ahmad)

Monday, February 13, 2012

Tuan kecil vs tuan besar

Apabila kita bekerja untuk orang, apa saja yang diarahkan kepada kita untuk dilaksananakan perlulah kita laksanakan.  Tidaklah dapat kita berkata "Bab ni saya tak pandai,jadi tolonglah tuan bagi pada orang lain! Kalau nak saya yang buat jugak, bagilah kerja yang berkaitan dengan bla..bla.. bla... baru saya boleh buat".  Boleh gitu? Agak-agak kalau kerja dengan swasta apa yang akan terjadi pada kita ya? Mungkin yang akan terjadi, macam dalam filem P.Ramlee, seniman bujang lapok, "Kau nampak itu pintu, getttt outtttt!!" :-)
Itu cerita kita dengan tuan kecil kita, tuan yang sama saja macam kita cuma pangkatnya lebih tinggi dari kita.

Bagaimana pula suruhan, tuan besar kita? Tuan yang telah mencipta dan menjadikan kita?  Hanya kerana keizinannyalah dapat kita bekerja dengan tuan kecil kita, hanya dengan keizinanyalah kita dapat bernafas setiap hari, walaupun hari-hari yang kita lalui kita rasa tak cukup nafas!  Hanya dengan keizinannya jualah kita masih dapat pergi kerja. Hanya dengan keizinannya jualah kita masih dapat menikmati hari-hari bahagia maupun derita kita.  Hanya dengan KeizinanNYA semata. Bagaimana kita laksanakan segala suruhannya dan meninggalkan segala larangannya? Setiap masakah kita laksanakan suruhannya tanpa ada rasa "saya tak pandai bab ni, bagikan pada orang lain saja"? Setiap waktukah kita meninggalkan larangannya?  Atau kita adalah "pekerja"Nya yang merasakan, "alaaa... muda lagi, buat dan rasa semuanya, tua-tua nanti bertaubat la...hidup hanya sekali beb...!" 

Siapakah yang selalunya kita lebihkan dalam segenap kehidupan kita? Tuan kecil atau Tuan besar kita? Suruhan siapakah yang akan paling kita dahulukan? Tuan kecil atau Tuan Besar?