Showing posts with label Kenyataan Media. Show all posts
Showing posts with label Kenyataan Media. Show all posts

Friday, September 21, 2012

"Innocent of Muslim"



KENYATAAN MEDIA
PERTUBUHAN IKRAM MALAYSIA
20 Sept 2012  / 4 Zulkaedah 1433H
Isu Filem Menghina Nabi Muhammad s.a.w

IKRAM mengecam dengan sekeras-kerasnya filem “Innocent of Muslim“ yang diarahkan oleh Sam Becile, seorang pengarah filem keturunan yahudi Israel Amerika. 

Filem ini secara terang-terangan dan melampau telah menghina Nabi Muhammad s.a.w dengan tuduhan yang direka-reka.  Ia telah membangkitkan kemarahan umat Islam seluruh dunia sehingga ada di antaranya telah bertindak keras dengan melakukan rusuhan, membakar bangunan kedutaan khasnya di Libya yang telah menyebabkan Duta Amerika Syarikat dan 3 orang pekerja kedutaan terbunuh.

Kejadian seumpama ini bukan pertama kali berlaku dan bukan juga yang terakhir. Cukuplah bagi kita dengan apa yang telah ditunjukkan oleh Al-Quran tentang tuduhan, umpatan, cacian golongan kafir dan musyrikin terhadap Baginda s.a.w. semasa masih hidup lagi. Baginda  dituduh orang gila, tukang sihir, pemecah belah masyarakat dan sebagainya yang tidak logik pada akal lebih-lebih lagi Baginda s.a.w. adalah Nabi dan Rasul yang terpilih.

Dalam zaman alam Islam dijajah negara-negara Barat, tuduhan-tuduhan  melampau yang sama dilakukan oleh golongan Orientalis Barat untuk menggugat keyakinan ummah terhadap kerasulan dan kenabian Nabi Muhammad s.a.w.  Ia telah ditangkis oleh para ulama serta pemikir-pemikir ummah sepanjang pertarungan tersebut  menerusi tulisan-tulisan mereka yang amat meyakinkan.

Tuduhan dan tohmahan seumpama ini juga berlaku kepada semua para Rasul utusan Allah s.w.t.  Para Rasul menghadapi semua itu dengan penuh bijaksana dan tidak terpengaruh dengan unsur-unsur provokasi musuh.

Sesungguhnya Allah s.w.t. memberi jaminan untuk memelihara para Nabi dan Rasul.  Allah s.w.t. yang memilih dan melantik mereka dan Allah s.w.t. tidak akan membiarkan mereka diperlakukan sewenang-wenangnya.

Firman Allah s.w.t :
Surah Al-Maidah: 67. “….dan Allah jualah akan memeliharamu dari (kejahatan) manusia. Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada kaum yang kafir”
Surah Al-Hijr: 95 “Sesungguhnya Kami tetap memelihara dan mengawalmu dari kejahatan orang-orang yang mengejek-ejek dan mempersendakanmu”
Surah Al-Syarh: 4 “dan Kami telah meninggikan bagimu: sebutan namamu (dengan mengurniakan pangkat Nabi dan berbagai kemuliaan)? “
Pertubuhan IKRAM Malaysia ingin mengajak segenap lapisan masyarakat Muslim di negara ini agar bertenang, bertindak bijaksana dan optimis bahawa Allah s.w.t  tetap akan memelihara dan memenangkan agama ini.

Mempertahan dan membela Rasulullah s.a.w. tidak seharusnya dibataskan dengan slogan-slogan, syiar-syiar dan demonstrasi sahaja. Bahkan kasih dan sayang kita kepada Nabi s.a.w. dibuktikan dengan perkara yang lebih asas lagi, iaitu mengikuti jejak perjalanan hidup dan perjuangannya serta menegakkan Islam  dalam kehidupan peribadi , masyarakat, negara dan dunia amnya.

Tindakan menunjuk rasa biarlah berlangsung secara aman, ditujukan kepada peribadi dan kumpulan yang membuat onar dan kesalahan  bukan kepada peribadi atau pihak-pihak  yang tidak terlibat melakukannya. Sikap adil harus kekal dalam semua situasi , marah atau suka.

Jangan sama sekali kita melibatkan diri dengan tindakan provokasi yang memarakkan permusuhan, menebalkan kebencian, pemusnahan harta benda, rusuhan dan seumpamanya.  Bukalah laluan-laluan dakwah ke arah mereka seluas-luasnya, menerusi langkah-langkah kebijaksanaan, nasihat yang baik serta dialog yang terbaik.
 Allah sw.t  tetap akan memenangkan agamaNya walau pun orang-orang yang kafir membencinya; 

Surah Al-Taubah: 32 “mereka hendak memadamkan cahaya Allah (agama Islam) Dengan mulut mereka, sedang Allah tidak menghendaki melainkan menyempurnakan cahayaNya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian). “

Mereka (orang-orang kafir) sentiasa melakukan tipu daya, dan Allah juga akan memperdaya mereka, Sedangkan Allah itu adalah sebaik-baik zat yang memperdayakan.

Surah Al 'Imraan: 54.  “(Apabila) mereka membuat makar (tipu daya), Allah membalas makar (tipu daya) mereka. Dan Allah sebaik-baik pembalas makar (tipu daya)”
Dr. Mohd Parid Sheikh Haji Ahmad 
Presiden Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)

Friday, May 4, 2012

Kenyataan Media


Pertubuhan IKRAM Malaysia (Ikram)
 
2 Mei 2012
 
 
Bersih 3.0: Ikram Ucapkan Tahniah kepada Rakyat
 
 
Pertubuhan IKRAM Malaysia (Ikram) mengucapkan tahniah dan syabas kepada ratusan ribu rakyat Malaysia di atas kematangan, kesungguhan dan keberanian untuk menyuarakan bantahan terhadap kelemahan sistem dan proses pilihan raya negara dalam perhimpunan “Duduk & Bantah” Bersih 3.0 pada 28 April 2012.
 
Kehadiran rakyat daripada pelbagai latarbelakang dan kaum tanpa mengira umur, agama, fahaman politik dan kedudukan dalam masyarakat menuntut perubahan dan mesej yang sama perlu dilihat sebagai petanda positif bahawa masa depan negara melangkaui sempadan politik kepartaian dan sistem demokrasi berparlimen semata-mata.  Ia menandakan ada sesuatu yang sangat tidak kena yang memerlukan perhatian dan tindakan serius.
 
Rakyat dan masyarakat madani kian matang dan sedar kepentingan integriti, ketelusan dan keperkasaan menuntut kebenaran.  Proses pilihan raya bukan sekadar proses membuang undi tetapi yang lebih penting ia merupakan proses rakyat mengamalkan hak mereka sebagai warganegara Malaysia untuk menentukan pemerintahan dan pemimpin negara yang sah.  Atas dasar itu maka semua yang berkait dengan pilihan raya sama ada undang-undang, peraturan dan proses semestinya adil, benar dan menjunjung hak rakyat tersebut.
 
Sebarang tanda-tanda kecacatan kepada proses khususnya senarai daftar pengundi, pendaftaran pengundi atau status kesahihan pengundi mestilah diatasi dengan pelan perancangan yang teliti.
 
Sebarang aduan penyelewengan dan penipuan termasuk rasuah, salahguna kuasa, media berat sebelah dan politik kotor mestilah disiasat dengan bersungguh-sungguh dan dibanteras.
 
Sebarang undang-undang dan peraturan yang bercanggah dengan semangat demokrasi dan iltizam rakyat untuk pemilihan yang bermaklumat dan sah mestilah diperbaiki dengan ruang seluasnya diberi untuk menyuarakan pendapat.
 
Ikram, walau bagaimanapun, berasa kesal dengan kekasaran dan keganasan yang berlaku selepas perhimpunan telah berjalan dengan aman selama beberapa jam. Ikram amat bersimpati dengan mereka yang tercedera semasa perhimpunan dan perhatian rawatan terbaik amat wajar diberikan kepada mereka.
 
Ikram mengecam tindakan keganasan oleh mana-mana pihak khususnya oleh pihak berkuasa. Tindakan memukul dan membelasah secara melampau terhadap orang yang tiada pertahanan diri amatlah dikeji dan tidak boleh dibenarkan sama sekali.
 
Ikram menggesa satu siasatan secara menyeluruh dilakukan oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM). Mana-mana pihak yang terbabit dengan tindakan berkenaan perlu dibawa ke muka pengadilan tanpa pengecualian.
 
Dalam pada itu, Ikram amat berharap insiden ketika Bersih 3.0 tidak dijadikan alasan kepada Kerajaan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memandang ringan tuntutan rakyat dan Bersih.
 
Ikram menggesa kerajaan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menumpu dan memberi perhatian serius kepada semua tuntutan Bersih. Oleh kerana sistem demokrasi dan pilihan raya menjadi tonggak kepada kestabilan negara dan rakyat, sangatlah wajar tuntutan-tuntutan tersebut diterima dan dilaksanakan sebelum Pilihan raya Umum ke-13.
 
 
 
Dr. Mohd Parid Sheikh Haji Ahmad 
Presiden
Pertubuhan IKRAM Malaysia (Ikram)

Friday, March 16, 2012

TRAGEDI DIRANG : DI MANAKAH PERIKEMANUSIAAN?


15 Mac 2012

KENYATAAN MEDIA : PERTUBUHAN IKRAM MALAYSIA (IKRAM)

IKRAM merakamkan perasaan sedih dan dukacita yang teramat sangat di atas berita pembunuhan kejam anak perempuan comel yang tidak berdosa, Nurul Nadirah (Dirang) Abdullah yang disyaki dibunuh dengan kejam selepas dilaporkan hilang seminggu yang lepas . Ucapan takziah ditujukan khas kepada ibu dan keluarga Allahyarham yang tentu sekali begitu terkesan oleh insiden malang yang menimpa Dirang. Sesungguhnya, nama Dirang akan bersemadi selama-lamanya dalam hati setiap rakyat Malaysia yang turut sama berkabung di atas pemergiannya.

IKRAM mengutuk sekeras-kerasnya tindakan kejam yang dilakukan oleh pembunuh yang sudah hilang perasaan perikemanusiaannya. Insiden tragis yang menimpa Dirang kini menjadi satu lagi peristiwa hitam yang merakamkan keganasan dan kekejaman terhadap kanak-kanak di tanahair tercinta ini. Tragedi ini
mengingatkan kita semua mangsa kanak-kanak yang lain seperti Allahyarham adik Nurin Jazlin Jazimin, Nurul Huda Abdul Ghani, Haserawati Saridi dan Shearwey Ooi Ying Ying. Namun ternyata, segala tindakan, akta dan hukuman yang dijalankan selama ini masih tidak mampu menghalang manusia pemangsa
yang kejam dan tidak berhati perut ini dari terus mencari mangsanya. Siapakah pula mangsa seterusnya? Persoalan ini akan mencetuskan satu suasana gerun dan ketakutan yang semakin menyelubungi masyarakat hari ini.

Dalam konteks saranan mengasihi kanak-kanak , Islam telah menggariskan contoh teladan melalui perilaku Rasulullah SAW yang digambarkan dalam mafhum hadith berikut :

Dari Abu Hurairah : Nabi SAW mencium Al-Hassan bin Ali dan di sisi Nabi ada Al-Aqro’ bin Haabis At-Tamimy yang sedang duduk. Maka Al-Aqro’ berkata : Aku punya 10 orang anak, tidak seorang pun dari mereka pernah kucium. Maka Rasulullah SAW pun melihat kepada Al-Aqro’ lalu baginda bersabda :
`Barangsiapa yang tidak merahmati atau menyayangi maka ia tidak akan dirahmati.
( HR Bukhari dan Muslim)

Nelson Mandela juga pernah mengatakan :

There can be no keener revelation of a society's soul than the way in
which it treats its children.”

Tiada petunjuk lebih tepat yang mampu menggambarkan roh atau intipati jiwa sesuatu masyarakat, selain daripada cara bagaimana ahli masyarakat tersebut melayan dan meladeni kanak-kanak.

Sesungguhnya, kejadian yang menimpa Dirang dan ramai lagi kanak-kanak mangsa kekejaman menjadi petanda bahawa ada sesuatu yang amat tidak kena dalam masyarakat kita hari ini.

IKRAM menegaskan, fenomena peningkatan keganasan dan kekejaman di kalangan masyarakat berkait rapat dengan longgarnya ikatan spiritualiti dan lunturnya pegangan akidah individu. Tanpa adanya perasaan takut kepada kemurkaan Tuhan dan rasa harap kepada keredhaan-Nya, jiwa manusia dengan mudah diperdayakan oleh nafsu syahwatnya. Apabila syahwatnya mengganas dan menjadi raja, individu tersebut tidak akan teragak-agak melakukan sesuatu yang di luar dari jangkaan kebiasaan manusia. Integriti dan amanah tidak lagi menjadi identiti diri. Perkara pokok mengenai keteguhan iman dan takwa inilah yang perlu ditanamkan setiap masa dan ketika dalam diri individu dan masyarakat.

IKRAM mencadangkan beberapa langkah dan tindakan yang harus diambil perhatian serius:

1. Meminta semua pihak memuhasabah diri secara jujur dan telus, menilai semula sejauhmanakah kepercayaan agama dan spiritualiti ini berakar umbi dalam jiwa khususnya generasi muda yang dibimbangi semakin longgar pegangan agama, nilai dan moral kemanusiaan.

2. Mencadangkan agar ibu bapa sentiasa lebih peka dengan aspek keselamatan anak-anak di dalam dan luar rumah, di samping mendidik anak-anak tentang kepentingan keselamatan diri mereka sendiri.

3. Menyarankan agar kesemua ibu bapa dan golongan dewasa memastikan anak-anak mereka dididik dengan acuan nilai dan moral yang tinggi, berpaksikan kepercayaan agama yang dianuti. Fahaman materialistik dan gaya hidup hedonistik yang begitu berleluasa di kalangan keluarga moden hari
ini, mestilah digantikan dengan cara hidup sederhana yang menekankan tentang nilai murni, akhlak, integriti, amanah dan keseimbangan.

4. Mengajak semua ahli masyarakat untuk mengambil berat dan mengutamakan kesejahteraan anak-anak dari segenap aspek – fizikal, mental, emosi, spiritual dan sosial. Semoga sikap keprihatinan tinggi yang ditunjukkanoleh Encik YP Chong yang dilaporkan bertindak pantas menyelamatkan Wan Hazim Wan Khadhir, kanak-kanak yang dilaporkan hilang dari ditemui di rumahnya baru-baru ini, menjadi contoh teladan dan motivasi untuk kita semua.

5. Merayu pihak berwajib memberikan fokus serius dalam usaha menanamkan nilai murni berpaksikan moral, agama dan kerohanian yang tinggi kepada ahli-ahli masyarakat. Keseimbangan hidup mengejar dunia dan akhirat akan mencetuskan manusia yang kompetatif dan berdaya-saing tinggi.

6. Menuntut agar segala unsur-unsur perosak jati diri generasi muda seperti ketagihan dadah, pil khayal, alkohol, seks bebas dibendung dengan tegas, berkesan dan berhemah.

Sesungguhnya kesejahteraan dan keselamatan anak-anak adalah tanggungjawab bersama dan amanah buat semua golongan dewasa dalam masyarakat.

PASTIKAN KEMATIAN NURUL NADIRAH TIDAK SIA-SIA. JADIKAN IA SATU TITIK MULA UNTUK MASYARAKAT KEMBALI KEPADA ASAS AGAMA DAN SPIRITUALITI YANG MANTAP DAN KUKUH.

Prof. Madya Dr. Harlina Halizah Siraj
Pengerusi JK Pembangunan Sosial IKRAM
012-3243134


Tuesday, June 21, 2011

KETAATAN ISTERI KEPADA SUAMI BUKAN KETAATAN YANG MEMBUTA TULI

KENYATAAN MEDIA WANITA PERTUBUHAN IKRAM MALAYSIA
10 Jun 2011 bersamaan 8 Rejab 1432 H

KETAATAN ISTERI KEPADA SUAMI BUKAN KETAATAN YANG MEMBUTA TULI

Kenyataan seperti ini sebenarnya tidak tepat, menghina dan merendahkan martabat wanita serta boleh mengakibatkan kekeliruan di kalangan masyarakat Islam dan bukan Islam terhadap kedudukan dan peranan sebenar wanita sebagaimana yang disyariatkan dalam Islam. Kajian Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) pada 2004 juga menunjukkan faktor utama perceraian ialah tiada persefahaman, curang dan enggan dimadukan, tidak bertanggungjawab, campur tangan mentua atau ipar duai, disebabkan ketagihan dadah atau alkohol, masalah kewangan, terbabit jenayah, judi dan masalah kesihatan serta didera.

Wanita IKRAM  ingin menegaskan bahawa:

1.         Ajaran Islam selaku sistem hidup yang lengkap, adil dan menyeluruh serta rahmat bagi sekalian alam telah memartabatkan wanita sebagai rakan kongsi lelaki yang mempunyai hak-hak yang sama walaupun mungkin berbeza peranan dalam pelbagai bidang kehidupan baik dari sudut individu, berkeluarga dan kehidupan bermasyarakat.

2.         Ketaatan wanita kepada suaminya adalah dalam rangka dan batasan ketaatan kepada Allah. Ini bukanlah suatu ketaatan membuta tuli sehingga merelakan segala perbuatan suami walaupun ternyata suami telah berbuat kedurhakaan terhadap Allah. Rasulullah SAW bersabda “Tiada ketaatan dalam kemaksiatan kepada Allah, ketaatan hanyalah dalam perkara makruf” (Sahih Bukhari dan Muslim).

Peringatan Allah dalam surah An Nisa 4:34 wajar menjadi ingatan bagi kita semua

” Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian daripada harta mereka. Maka perempuan-perempuan yang soleh itu ialah yang taat (kepada Allah dan suaminya), dan yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa jua yang wajib dipelihara) ketika suami tidak hadir bersama, Dengan pemuliharaan Allah dan pertolongan-Nya. dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan perbuatan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka, dan (jika mereka berdegil) pulaukanlah mereka di tempat tidur, dan (kalau juga mereka masih degil) pukulah mereka (dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajarnya). kemudian jika mereka taat kepada kamu, maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkan mereka. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi, lagi Maha Besar.

3.         Meletakkan kesalahan semata-mata kepada isteri dalam memberikan layanan seksual kepada suami sebagai punca lelaki berlaku curang adalah satu pandangan yang amat dangkal. Bahagian Penyelidikan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mendapati tiada persefahaman, tidak bertanggungjawab, masalah akhlak dan sosial, masalah ekonomi dan masalah seksual adalah punca utama perceraian di kalangan pasangan Islam. Kajian dibuat syarikat Pfizer pada tahun 2008 pula menunjukkan 62 peratus lelaki dan 73 peratus wanita di negara ini yang tidak berasa puas dengan kehidupan seksual mereka. Dengan itu, kepentingan untuk para suami menjalankan peranan mereka dengan sempurna dan memberikan perhatian yang lebih teliti dalam memenuhi keperluan lahir dan batin isteri mereka juga perlu ditekankan.

4.         Wanita IKRAM menerima dan menyedari bahawa poligami dibenarkan dalam Islam sebagai satu institusi yang mempunyai pelbagai hikmah dan kebaikan sekiranya dijalankan dengan betul berlandaskan syarat yang digariskan syara’ dalam semua peringkat perlaksanaannya. Persepsi masyarakat perlu diperbetulkan selain pengamal poligami terutama golongan lelaki perlu mendapat pendidikan dan latihan sebelum mengamalkannya.

5.         Semua pihak lelaki dan wanita, suami dan isteri haruslah kembali berpegang dan mengamalkan ajaran Islam sebagaimana yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW sebagaimana hadisnya yang masyhur; “Orang yang paling baik di kalangan kamu ialah orang yang paling baik (pergaulannya) dengan ahli keluarga dan aku adalah yang terbaik dari kalangan kamu dalam pergaulan dengan ahli keluargaku.” ( Hadis riwayat Ibnu Majah dan Ibnu Hibban). Al Quran menunjukkan kita “ Dan orang-orang Yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya. mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” At Taubah 9:71

Semoga dengan ini kita dapat membetulkan persepsi kita tentang peranan wanita dalam Islam  disamping memperbaiki kehidupan berkeluarga dalam usaha kita untuk mempertahankan institusi keluarga ini sebagai unit asas dalam pembinaan masyarakat yang harmoni dan sejahtera


Datin Paduka Che Asmah Ibrahim
Timbalan Ketua Wanita
Wanita Pertubuhan IKRAM Malaysia
019- 322 6800