Friday, September 21, 2012

"Innocent of Muslim"



KENYATAAN MEDIA
PERTUBUHAN IKRAM MALAYSIA
20 Sept 2012  / 4 Zulkaedah 1433H
Isu Filem Menghina Nabi Muhammad s.a.w

IKRAM mengecam dengan sekeras-kerasnya filem “Innocent of Muslim“ yang diarahkan oleh Sam Becile, seorang pengarah filem keturunan yahudi Israel Amerika. 

Filem ini secara terang-terangan dan melampau telah menghina Nabi Muhammad s.a.w dengan tuduhan yang direka-reka.  Ia telah membangkitkan kemarahan umat Islam seluruh dunia sehingga ada di antaranya telah bertindak keras dengan melakukan rusuhan, membakar bangunan kedutaan khasnya di Libya yang telah menyebabkan Duta Amerika Syarikat dan 3 orang pekerja kedutaan terbunuh.

Kejadian seumpama ini bukan pertama kali berlaku dan bukan juga yang terakhir. Cukuplah bagi kita dengan apa yang telah ditunjukkan oleh Al-Quran tentang tuduhan, umpatan, cacian golongan kafir dan musyrikin terhadap Baginda s.a.w. semasa masih hidup lagi. Baginda  dituduh orang gila, tukang sihir, pemecah belah masyarakat dan sebagainya yang tidak logik pada akal lebih-lebih lagi Baginda s.a.w. adalah Nabi dan Rasul yang terpilih.

Dalam zaman alam Islam dijajah negara-negara Barat, tuduhan-tuduhan  melampau yang sama dilakukan oleh golongan Orientalis Barat untuk menggugat keyakinan ummah terhadap kerasulan dan kenabian Nabi Muhammad s.a.w.  Ia telah ditangkis oleh para ulama serta pemikir-pemikir ummah sepanjang pertarungan tersebut  menerusi tulisan-tulisan mereka yang amat meyakinkan.

Tuduhan dan tohmahan seumpama ini juga berlaku kepada semua para Rasul utusan Allah s.w.t.  Para Rasul menghadapi semua itu dengan penuh bijaksana dan tidak terpengaruh dengan unsur-unsur provokasi musuh.

Sesungguhnya Allah s.w.t. memberi jaminan untuk memelihara para Nabi dan Rasul.  Allah s.w.t. yang memilih dan melantik mereka dan Allah s.w.t. tidak akan membiarkan mereka diperlakukan sewenang-wenangnya.

Firman Allah s.w.t :
Surah Al-Maidah: 67. “….dan Allah jualah akan memeliharamu dari (kejahatan) manusia. Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada kaum yang kafir”
Surah Al-Hijr: 95 “Sesungguhnya Kami tetap memelihara dan mengawalmu dari kejahatan orang-orang yang mengejek-ejek dan mempersendakanmu”
Surah Al-Syarh: 4 “dan Kami telah meninggikan bagimu: sebutan namamu (dengan mengurniakan pangkat Nabi dan berbagai kemuliaan)? “
Pertubuhan IKRAM Malaysia ingin mengajak segenap lapisan masyarakat Muslim di negara ini agar bertenang, bertindak bijaksana dan optimis bahawa Allah s.w.t  tetap akan memelihara dan memenangkan agama ini.

Mempertahan dan membela Rasulullah s.a.w. tidak seharusnya dibataskan dengan slogan-slogan, syiar-syiar dan demonstrasi sahaja. Bahkan kasih dan sayang kita kepada Nabi s.a.w. dibuktikan dengan perkara yang lebih asas lagi, iaitu mengikuti jejak perjalanan hidup dan perjuangannya serta menegakkan Islam  dalam kehidupan peribadi , masyarakat, negara dan dunia amnya.

Tindakan menunjuk rasa biarlah berlangsung secara aman, ditujukan kepada peribadi dan kumpulan yang membuat onar dan kesalahan  bukan kepada peribadi atau pihak-pihak  yang tidak terlibat melakukannya. Sikap adil harus kekal dalam semua situasi , marah atau suka.

Jangan sama sekali kita melibatkan diri dengan tindakan provokasi yang memarakkan permusuhan, menebalkan kebencian, pemusnahan harta benda, rusuhan dan seumpamanya.  Bukalah laluan-laluan dakwah ke arah mereka seluas-luasnya, menerusi langkah-langkah kebijaksanaan, nasihat yang baik serta dialog yang terbaik.
 Allah sw.t  tetap akan memenangkan agamaNya walau pun orang-orang yang kafir membencinya; 

Surah Al-Taubah: 32 “mereka hendak memadamkan cahaya Allah (agama Islam) Dengan mulut mereka, sedang Allah tidak menghendaki melainkan menyempurnakan cahayaNya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian). “

Mereka (orang-orang kafir) sentiasa melakukan tipu daya, dan Allah juga akan memperdaya mereka, Sedangkan Allah itu adalah sebaik-baik zat yang memperdayakan.

Surah Al 'Imraan: 54.  “(Apabila) mereka membuat makar (tipu daya), Allah membalas makar (tipu daya) mereka. Dan Allah sebaik-baik pembalas makar (tipu daya)”
Dr. Mohd Parid Sheikh Haji Ahmad 
Presiden Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)

No comments:

Post a Comment