Ahmad Shafiai Uda Jaafar (pakutih@ymail.com / http://mahligaikasih.multiply.com)
Tulisan ini untuk bacaan bersantai sahaja.
Sumber |
Abu pulang ke rumah dengan keadaan letih.
Sesampai di rumah, dia melabuhkan badan yang separuh longlai terbenam di dalam
sofa malasnya dan mengangkat kaki di atas pelapik kaki berlunjur ke arah tv.
Dia terus mencapai alat kawalan jauh, mengetik-ketik mencari saluran berita
dunia di sana sini. Fikirannya terasa lega kerana dapat mencampakkan ke
belakang masalah yang menghantuinya di pejabat tadi. Niatnya semata-mata untuk
memulihkan tenaga yang telah hilang di pejabat tadi dan bersedia untuk
menyumbang tenaga dan tanggungjawab yang mungkin diperlukan di rumahnya ini.
Sebaliknya, Aminah, isteri Abu yang pulang lebih
awal dari pejabatnya, berada di dapur sambil menyusun pinggan mangkuk dan
periuk kuali yang sudah kering di rak pinggannya, merasa hairan mengapa
suaminya tidak menegurnya, diam membatu menengok tv. Adakah dia sakit? Atau
adakah dia marah padanya?. Apa salahnya dia ceritakan masalah yang dia hadapi
berkongsi dengannya? Atau tanya padanya masalah yang dia hadapi di pejabatnya?
Adakah dia tidak nampak yang isteri berada di dapur ini? Sambil menjeling
sekali sekala melalui tepian matanya ke arah suaminya yang sedang tenggelam
hanyut, fikirannya terus membuat bermacam-macam andaian hingga ke peringkat
adakah dia ini masih cinta pada dirinya lagi?.
Aminah bertambah stres.
Aminah sangat hairan memikirkan suaminya semakin
hari bertambah dingin terhadapnya.
Abu pula bertambah bingung mengapa
akhir-akhirnya ini, isterinya mudah saja melenting dan marah-marah atas perkara
yang dianggapnya remeh temeh.
Kedua suami isteri ini telah bernikah atas dasar
cinta yang sejati yang telah mereka ikatkan pada tujuh tahun yang
lalu. Namun cinta yang disanjung itu tidak mampu untuk mengekalkan kemanisan
berbulan madu hingga ke hari ini. Mengapakah perkara begini boleh terjadi?.
Mari kita imbas kembali bagaimana Allah mencipta
kita seawal umur satu hari hingga kelapan minggu semasa ruh kita di tiupkan ke
dalam janin kita. Sahabat saya Dr Danial Zainal Abidin yang mempelopori Minda
Super, mengatakan, Allah menentukan jantina kita semasa kita berumur enam
atau lapan minggu. Sebelum enam minggu, semua janin adalah
perempuan. Bagi janin yang ditentukan menjadi lelaki, maka ia
mengeluarkan hormon testosterone yang tinggi kepekatannya dan merubah bentuk
menjadi lelaki. Manakala janin yang ditentukan menjadi perempuan, akan terus
menjadi perempuan tanpa dibekalkan dengan hormon testosterone yang banyak.
Kajian terkini menyatakan bahawa wanita
mengeluarkan hormon oxytocin untuk menangani stres manakala lelaki mengeluarkan
testosterone untuk tujuan yang sama. Kesan pengeluaran oxytocin di dalam wanita
yang mengalami stres dikatakan boleh menyebabkan wanita berasa selamat,
bekerjasama, rasa prihatin, membantu dan belai membelai. Bagi lelaki pula,
pengeluaran testosterone semasa kecemasan ialah menyebabkan dia bingkas bangun
bertindak segera, berkorban diri untuk kepentingan umum dan bermotivasi
menyelesaikan masalah. Dengan perbezaan ini dan ketidakfahaman fungsi hormon
dan kesan kepada lelaki dan wanita inilah yang menyebabkan salah satu punca
konflik di antara lelaki dan wanita di mana juga sama ada di pejabat ataupun di
rumah.
Memang tepatlah kenyataan lelaki (rijal) di
dalam Surah An Nisa ayat 34, itu sebagai pengawal, penjaga dan pemimpin wanita
yang telah dibekalkan oleh Allah dengan hormon ini agar lelaki bermotivasi
menjaga diri, keluarga dan masyarakatnya daripada serangan musuh dan wanita
pula dibasahi dengan hormon oxytocin agar bermotivasi memelihara, membelai dan
menjaga hubungan peribadi dengan suami, anak-anak dan masyarakat sekelilingnya.
Mari kita memahami kesan testosterone terhadap
lelaki dan wanita. Tingginya tahap testosterone di dalam lelaki akan
menyebabkan stresnya rendah. Sebaliknya bagi wanita memang hormon ini boleh
menyebabkan rasa tinggi berkuasa, berupaya dan kelihatan lebih seksi tetapi ia
tidak merendahkan stres baginya. Malah menyebabkan wanita bertambah agresif dan
mudah melenting.
Lelaki memerlukan dua keadaan iaitu mengeluar
dan membina testosterone. Pertama semasa mengeluarkan testosterone, seperti
sedang menukarkan tayar bocor, lelaki dapat merasai nikmat kepuasannya
pengeluaran hormon ini. Selepas itu, lelaki memerlukan aktiviti untuk membina
semula testosterone yang telah digunakan tadi seperti tidur, makan, main
permainan, tengok berita di tv dan membaca akhbar. Ia juga merasakan kepuasan
semasa testosterone dibinakan semula ini.
Manakala banyaknya oxytocin di dalam wanita akan
menyebabkan turunnya stess mereka tetapi tidak kepada lelaki. Memang orang
lelaki akan bertambah jujur, empati dan pemurah sikapnya tetapi tingginya
kepekatan hormon ini akan menyebabkan lelaki bertambah stres dan jadi mengantuk
melemahkan hormon testosterone.
Wanita memerlukan juga dua keadaan iaitu
mengeluar dan membina oxytocin. Semasa mengeluarkan hormon ini seperti melayani
anak dan suami, wanita rasa puas dan stresnya turun. Kedua semasa menerima
belaian dan batuan kerja rumah daripada suami akan menyebabkan hormon ini
terbina dan dia merasa puas juga.
Kembali kita kepada senario di atas tadi. Abu
merasai dirinya stres setelah tidak berjaya menyelesaikan masalah di pejabatnya
tadi. Perbuatannya mendiamkan diri dan menonton tv adalah semata-mata untuk
membina hormon testosterone yang telah kurang. Isterinya boleh membantu
mempercepatkan proses ini dengan membiarkannya “menggua” di depan tv dan
memberinya air minum kesukaannya tanpa mengeluarkan apa-apa ungkapan. Apabila
Abu terasa kembali segar, pasti dia akan ke dapur bertemu isteri kesayangannya
itu. Waktu inilah giliran isterinya pula menambahkan hormon oxytocin setelah
hilang melayan anak-anak sekembali daripada pejabat, apabila suaminya mula
menghampirinya. Teknik yang terbaik ialah bisikkan kepada suaminya dengan
ungkapan, “Alhamdulillah, tolong Minah untuk bereskan ini, Minah perlukan
pertolongan abang, terima kasih Abang”, seolah-olah bantuan penyelesaian
diperlukan daripada suaminya yang “pakar-menyelesaikan-semua-masalah” itu.
Abu dengan mudah bersedia membantu kerana hormon
testosterone telah banyak dan bersedia untuk mengeluarkannya melalui aktiviti
“Menyelesaikan Masalah” yang diperlukan oleh isterinya.
Selamat mencuba.
Pak Utih