Thursday, January 31, 2013

Janganlah...

Di dalam usia yang semakin meningkat, lutut ada yang mula terasa nyilu-nyilu bila naik tangga, diri ini mula terasa risau.  Apatah lagi melihat kakak-kakak yang mula bersolat diatas kerusi. Semoga diri ini tidak sampai begitu jadinya sehingga hujung nyawa.

"Ya Allah, tidak mahu aku kehilangan rasa nikmat sujud kepadaMu. Sujud yang sebenar-benar sujud.  Tanda rendahnya hambaMu ini berbanding denganMu. Untuk terus mengingatkan diri ini, nikmatMu yang manakah yang ingin aku dustakan?"


 "Sujudlah dan dekatkanlah (dirimu kepada Tuhan)." (QS Al-'Alaq: 19).

 "Sesungguhnya saat yang paling dekat antara seorang hamba dengan  Tuhannya adalah ketika ia sedang sujud" (HR. Muslim).

Thursday, January 17, 2013

4 golongan - dimana kita?

Berada di bulan pertama di tahun baru ni terasa macam bermimpi.  Terasa tak percaya yang setahun lagi telah berlalu.  Begitu cepat masa berlalu. Melewati tahun baru ni terasa macam "eh! baru je buat ni, dah kena ulang semula!".  Apapun kehidupan yang telah berlalu tidak akan kembali lagi.  Masa yang berlalu bermakna setahun hidup kita telah berlalu. Semoga setahun itu dikira sebagai ibadah kepada Allah.  Setahun yang berlalu bermakna setahun lagi kita menghampiri saat kematian kita.  Tak gitu?

Tahun ini alhamdulillah, masih lagi dapat menabur bakti bersama adik-adik di Raudhatus Sakinah.  Semoga perkongsian ada manfaatnya. Nak kongsi sikit apa yang telah di kongsikan bersama adik-adik di RS.

Ikhlas dan empat jenis orang

 Jenis Pertama ialah orang yang beramal dengan ikhlas lalu dia memperoleh pelbagai manfaat di sebalik amal itu sehingga akhirnya menjadikan dirinya bertambah-tambah ikhlas. Orang jenis pertama ini adalah yang terbaik.  Jenis Kedua ialah orang yang pada awalnya tidak ikhlas dalam beramal. Namun semasa atau setelah beramal dia menemui pelbagai manfaat hingga akhirnya dia meneruskan amal itu dengan hati yang ikhlas. Jenis kedua ini ialah orang yang beruntung. Jenis Ketiga ialah orang yang pada awalnya ikhlas namun semasa atau selepas beramal hatinya berubah kepada meraih pujian orang atau mengharapkan keuntungan duniawi. Orang seperti ini ialah mereka yang menzalimi diri sendiri.  Jenis Keempat ialah orang yang pada awalnya tidak ikhlas dan semasa atau selepas beramal, dia semakin tidak ikhlas dan melakukan amalan itu semata-mata kerana pujian orang atau keuntungan duniawi.

Semoga kita tergolong di dalam golongan yang pertama kerana rukun bagi amalan yang diterima adalah

1) Ikhlas
2) Bertepatan dengan sunnah dan syara'


rukun yang pertama tercapailah kesahihan batin dan dengan yang kedua tercapailah kesahihan lahir

Wednesday, January 16, 2013

Ibu dan terataknya

Kadangkala kita terasa hati bila ibu kita macam tak mau nak berlama-lama di rumah kita.  Kejap saja nak balik dah.  Kekadang tu puas kita pujuk suruh datang, tapi tak maunya dia! Sedangkan pada kita 'mama datang saja, tak yah buat apa-apa, mama dok saja kat rumah kami.  Lagipun apa yang tak ada kat rumah kami tu, semua ada, insyaallah, tak menyusahkan mama".  Tetap juga tidak mahunya mak kita mengikut kita.

Dalam usia yang semakin meningkat ini, terasa diri ini mula faham kenapa ibu kita begitu.  Sekarang kalau keluar terlalu lama apabila sampai dirumah, terasa "Oh! rumahku syurgaku".  Tak ada tempat yang paling best selain dapat pulang semula ke rumah.  Terasa kuat sekali ikatannya dengan rumah kita.

Begitulah juga rasanya ibu kita dengan rumahnya.  Rumah yang dibina oleh suaminya.  Rumah di mana dia menyemai kasih, membina kehidupan, membesarkan anak-anak; suka dukanya semuanya tersemat dan tersemai di rumah itu. Setiap ruang yang ada, setiap ceruk yang dimiliki ada ceritanya tersendiri buat ibu kita. Apatah lagi jika suaminya kini tiada lagi disisi.  Walau apapun keadaan rumah kita, walau betapa cantik dan lengkapnya rumah kita pastinya tidak mungkin dapat menandingi rumah yang telah didiami dengan kasih sayang dan air mata, yang telah dibina dengan kerengat dan pengorbanan, yang tersemai seribu satu kenangan bersama suami dan anak-anak tercinta, pastinya tidak sama.



"Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan"



"Dan ia taat serta berbuat baik kepada ibu bapanya, dan ia pula tidak sombong angkuh atau derhaka." (Maryam 19:14) 

Friday, January 11, 2013

"Ya Allah, ku terima ujianMu ini dengan redha.  Semoga ianya menjadi kafarah buat segala dosaku. Ianya menjadi muhasabah buat diri atas terlalu banyak pembaziran yang dilakukan.  Sesungguhnya dengan hidup sekadarnya, atas apa yang dimiliki tidak pun menjadi onar atau nanah yang menyesakkan.  Semoga tarbiyyah disaat diuji akan terus berkekalan dalam menjadi diri ini hambaMu yang lebih solehah, beriman dan bertaqwa.

Ya Allah ampunkan aku atas segalanya
Ampunkan aku atas amanah yang aku khianati
Ampunkan aku atas janji yang aku mungkiri
Ampunkan aku atas nikmat yang tidak kusyukuri
Ampunkan aku atas dosa yang kuulangi
Ampunkan aku ya Allah..ampunkan Aku..
Tiada apa yang lebih ku inginkan selain dari KeampunanMu


Taubat seorang hamba -Hafiz Hamidon

                               

Friday, January 4, 2013

New year!

Dah 4 hari di tahun baru Masihi.  Tahun baru Hijrah dah lama kita lalui.  Selalunya yang meriah hanyalah di tahun baru Masihi tetapi kebanyakannya hanya diisin dengan program yang tidak meningkatkan darjat iman.

Tahun baru bermakna setahun lagi kehidupan kita telah berlalu.  Apakah yang telah kita isi selama setahun kehidupan kita yang berlalu itu?  Setahun bermakna 365 hari bersamaan 8760 jam bersamaan 525600 minit telah kita habiskan. Itu belum dikira dah berapa tahun kita hidup di dunia ini!

Semoga tahun ini, 365 hari yang bakal kita lalui akan lebih baik dari yang sebelumnya.  Tanamlah di tahun ini dengan benih-benih amalan yang baik semoga tuaian kita diakhirat nanti adalah yang terbaik hasil benih yang baik.


"Kecuali orang-orang yang bertaubat (dari perbuatan munafik itu) dan memperbaiki amalan mereka (yang salah), dan mereka pula berpegang teguh kepada (agama) Allah, serta mengerjakan agama mereka dengan ikhlas kerana Allah, maka mereka yang demikian itu ditempatkan bersama-sama orang-orang yang beriman (di dalam Syurga); dan Allah akan memberikan orang-orang yang beriman itu pahala yang amat besar. " (An-Nisaa' 4:146)

"Mereka itulah orang-orang yang membeli (mengutamakan) kehidupan dunia (dan kesenangannya) dengan (meninggalkan perintah-perintah Allah yang membawa kebahagiaan dalam kehidupan) akhirat; maka tidak akan diringankan azab seksa mereka (pada hari kiamat), dan mereka pula tidak akan diberikan pertolongan." (Al-Baqarah 2:86


"Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya."