Monday, March 31, 2014

Percaya mimpi....??


Terlalu banyak mehnah dan musibah yang melanda Malaysia khususnya dan dunia amnya. Segala yang kita lalui ada  hikmah yang tersembunyi disebaliknya walau betapa berat sekalipun peristiwa itu.  Semoga setiap ujian yang mendatang lebih mendekatkan lagi kita kepada DIA yang Maha Berkuasa, Maha Mengetahui, Maha Bijaksana..

Di antara kurafat yang terzahir seperti perbuatan para bomoh yang menggunakan alatan (teropong, tikar 'terbang' etc) dan mimpi-mimpi seorang ustaz. Pasti perlakuan para bomoh itu jelas kekufarannya.  Tapi mimpi seorang ustaz tentang perkara ghaib memerlukan ilmu untuk menanganinya.

Apakah hukumnya percaya pada mimpi-mimpi seseorang?

As Syahid Imam Hassan Al Banna membahaskan dalam Usul 20 (usul keempat) akan perkara ini:

Jampi, mentera, mengaku mengetahui perkara ghaib dan seumpamanya adalah kemungkaran yang wajib diperangi, kecuali jampi-jampi dari ayat Al- Quran atau jampi-jampi yang diterima dari Rasulullah (s.a.w)

Penjelasan:
Muslim adalah dituntut melakukan sebab-sebab yang telah dijanjikan Allah untuk mencapai sesuatu natijah, umpamanya: Makan adalah menjadi sebab hilangnya lapar dan untuk menyambung hidup, minum adalah menjadi sebab kepada hilangnya kehausan dan bekerja menjadi sebab untuk menghasilkan pendapatan dan kekayaan dan begitulah seterusnya. Di samping sebab-sebab yang bersifat kebendaan ini terdapat juga sebab-sebab maknawi yang boleh menghasilkan natijah, seperti doa. Boleh jadi penyakit seseorang itu sembuh kerana doanya begitu juga orang yang sesat mendapat petunjuk kerana doanya, demikianlah seterusnya, kerana semua perkara adalah di tangan Allah. Beliaulah yang menjadikan doa dan permintaan manusia kepadaNya sebagai sebab untuk mendapatkan sesuatu yang dihajatkan setelah orang yang berdoa memenuhkan syarat-syarat yang menyebabkan doanya tidak disia-siakan. Termasuk dalam sebab-sebab maknawi ini jampi dan doa yang dilakukan oleh Muslim sewaktu beliau ditimpa kesempitan atau sakit, atau beliau dijampi dan didoakan oleh orang lain sebagaimana yang tersebut dalam hadith-hadith seperti:

 “Dengan nama Allah saya menjampimu, dan Allah menyembuhkanmu dari segala penyakit yang menyakitimu, dari kejahatan wanita-wanita tukang sihir yang menghembus pada bulu-bulu dan dari kejahatan orang yang dengki apabila ia dengki”.

Jampi-jampi dan doa seperti ini harus di segi syariat kerana telah berlaku dalam sunnah yang suci, tetapi jampi-jampi yang lain termasuklah tukang-tukang nujum, dakwaan mengetahui perkara-perkara yang ghaib, menulis kalimah-kalimah yang tidak difahami, menjadikan batu-batu atau tulang-tulang sebagai tangkal adalah termasuk dalam perkara mungkar yang wajib ditolak dan tidak harus diterima.

sumber
Mungkin orang bertanya: “Kenapakah di sini kita mengingkari dakwaan mengetahui perkara-perkara ghaib sedangkan pada asas ketiga, asas yang mengatakan bahawa sebahagian dari kesan iman yang benar ialah kassyaf dan termasuk dalam kassyaf ini ialah mengetahui sebahagian dari perkara-perkara ghaib?” Untuk menjawab soalan ini kita katakan: bahawa kassyaf ini berlaku kepada orang-orang yang beriman tanpa dimintanya dan beliau tidak berhak memintanya. Beliau juga tidak berkuasa mengetahui perkara-perkara ghaib itu menurut masa dan keadaan yang dikehendakinya dan beliau tidaklah memilik suatu kuasa pancaindera yang tertentu untuk kassyaf, cuma kassyaf itu dilakukan Allah padanya lantas perkara-perkara batin dan yang tersembunyi itu terbuka kepadanya. Kassyaf yang sedemikian ini berbeza dengan dakwaan mengetahui perkara ghaib, kerana mereka yang mendakwa mengetahui perkara ghaib mendakwakan bahawa mereka berkuasa melihat perkara-perkara ghaib itu bila-bila masa sahaja menurut kehendaknya, sebagaimana beliau berkuasa melihat benda-benda yang wujud di depan mata bila-bila masa beliau kehendaki. Dakwaan seperti ini ditegah dalam syariat.