Thursday, March 21, 2013

Merentas desa di kota...


Acara tahunan sekolah di bandar ini masih dinamakan "merentas desa".  Entah kenapa masih belum berubah namanya sedangkan bukan desa lagi yang direntasi dibandar batu ini.  Anak-anak yang membesar dicelah-celah bandar batu ini tidak merasai apa itu acara merentas desa yang sebenarnya.

Teringat dizaman sekolah dulu, acara merentas desa ini antara acara yang seronok tapi tak larat nak ikut serta.  Satu seronok dapat masuk ke kebun getah, berlari dibatas bendang (sawah), melalui tali air, melihat alam ciptaan Allah yang begitu indah ini.  Suasana di kampung juga berlainan.  Nyaman dan menyegarkan diwaktu pagi.  Hidup dengan berbagai hidupan, liar dan jinak. Kicauan burung disana sini, bukan deruman kenderaan.  Desiran angin menyentuh dedaun, gemersik, pemandangan saujana mata memandang. Suasana dan persekitaran yang sentiasa dirindui.......

Yang tak seronoknya merentas desa ini adalah jaraknya, mak aiii... lagi tinggi darjah kesenioran disekolah lagi jauhlah jaraknya! Dengan latihan pun ala kadar, lelah lah nak habiskan larian berkilometer tu. Tapi selalunya demi semangat kesukanan dan kerumahan (ada ke??) pasti tetap dihabiskan juga larian ini.

Merentas desa disebuah desa
Berlainan sekali iramanya
Bukan sekadar memenuhi masa
Tapi terisi dengan keindahan ciptaanNya
Kehijauan padi menyejukkan mata
Kekuningannya penenang jiwa
Kicauan burung memeriahkan suasana

Tapi berlainan sekali suasananya
Merentas desa di bandaraya
Walau nama tetap sama
Tapi suasana amat berbeza
Deruman kenderaan membingit telinga
Ketidaksabaran si pemandu kereta
Akibat perjalanan kini tergendala
Dek acara "merentas desa"

Tapi mereka tetap gembira
Dapat menyumbangkan sebutir dua
Jumlah mata tetap dikira
Semangat kesukanan tetap dipelihara
Biarlah asal mereka bahagia...

Thursday, March 7, 2013

tarbiyyah paip pecah dan sinki bocor...


"Ujian adalah
Tarbiyyah dari Allah
Apakah kitakan sabar
Ataupun sebaliknya.."

Begitulah bait-bait lagu nyayian asalnya oleh The Zikr, tapi dirakam semula oleh Raihan atau Nazeri saja, tak pasti.

Ya.. ujian adalah tarbiyyah dari Allah.  Apakah kita akan menjadi hambanya yang berjaya atau pun hambanya yang kufur dek kegagalan mengharungi ujian itu.  Setiap ujian yang menimpa kita pastinya ada hikmah dan tarbiyyah yang ingin Allah berikan pada kita.

Teringat pada tahun 2006, ketika suami perlu ke luar negara selama 6 bulan.  Itulah pertama kali kami berpisah lama didalam masa perkahwinan kami. (Tak faham macammana pasangan muda sekarang sanggup menjadikan trend weekend wife or weekend husband! Apakah kerjaya adalah segala-galanya?).  Selepas menghantar suami ke airport bermulalah episod lemah longlai, tak bermaya, tak larat nak bangun, kalau boleh nak tidur saja dan tak mau diganggu. (Tu baru berpisah 6 bulan, kalau berpisah selama-lamanya, tak taulah macam mana pula episodnya).  Walaupun anak-anak ada tetapi kekuatan diri ini tidak ada!

Tapi Allahkan berfirman dalam surah Al Baqarah, 2 ayat 286 yang bermaksud
"Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya."

Allah tahu kita mampu, kita saja rasa kita tidak mampu. Malam pertama pemergian suami, terdengar bunyi macam air terjun kat luar rumah.

"hmm..sejak bila pula ada ai terjun ni!!..Bunyi apa sebenarnya", hati berbicara sendiri.  Nak keluar dengan amaran-amaran yang didengari tentang perbuatan jahat manusia durjana untuk "mengeluarkan" penghuni rumah dengan membuka air paip diluar rumah mengekang diri ini dari keluar memeriksa apa yang berlaku.  Tetapi apabila bunyi tu masih kedengaran setelah beberapa lama, diri ini memberanikan juga untuk menjenguk keluar.  Kelihatan paip air tak terbuka, jadi bunyi apa yang masih setia mengeluarkan bunyi ya!

Keluar juga memeriksa, Ya Allah, paip pecah rupanya ditimpa bata yang entah dari mana datangnya!  Malam-malam ni nak buat apa?  Dah tengah malam nak minta tolong sesiapa. Cuba untuk menghentikan pengaliran air tetapi tidak berjaya, hanya dapat menghentikanya dengan menutup kepala paip utama.  Tidak berairlah rumah kami sepanjang malam dan hingga esoknya.

Esoknya awal-awal pagi telefon biras yang tinggal berdekatan kerana abang ipar pandai bab-bab baiki ni.  Tapi dapat tahu abg ipar tidak dalam "good mood".  Oh! terasa begitu keseorangan sekali.  Tetapi tarbiyyah Allah itu datang dari sumber yang tidak disangka-sangka.  Disaat merasakan tidak mampu untuk hidup tanpa suami disisi, Allah turunkan pengajarannya sebagaimana firmannya dalam surah Al-Baqarah ayat 286 itu.  Ujian paip pecah ini adalah cara Allah tarbiyyahkan diri ini bahawa "kau mampu".  Melihat ke arah paip yang dah kering tu, Allah datangkan idea "aku mampu baikinya sendiri ni".  Berbekalkan sedikit pengalaman dan pengetahuan melihat suami dan arwah ayah baiki paip, paip itu alhamdulillah dapat dibaiki setelah Allah memudahkannya dengan adanya segala kelengkapan untuk membaiki paip (gergaji, gam dan paip penyambung) :-D.  Alhamdulillah. Pentarbiyyah pertama dari Allah, "kau mampu".

Habis bab paip, tengaharinya , dalam sibuk nak masak, sinki pula tersumbat. Dah la tersumbat dalam dok godek-godek nak cuci , dush!! tercabut besi yang lubang2 (filter) antara singki dan penyambung paip (sinki lama). Alamak! macammana nak sambung balik ni!! Bawa keluar ke belakang rumah, tengah dok cuci-cuci sambil berfikir macamana la nak sambung ni... Dah habih akal dah tak tau macamana nak buat, kakak sebelah keluar.

K.Siti : "Rajinnya cuci sinki".

Aku: "Tersumbatlah kak, dah tu ni haa tercabut pulak!"

K.Siti:"Akak pun pernah tercabut jugak dulu, kena skru balik dari bawah ..bla..bla..."

Aku:"Terima kasih kak".  Dengan senyum sebab dah dapat jawapan pada persoalan yang lebih susah dari soalan C programming :-D

Itulah dua tarbiyyah yang Allah berikan, disaat diri ini terasa tak mampu nak bergerak atau buat apa-apa.  Bukan tak mampu sebenarnyakan tapi tak mahu... Tarbiyyah itu menyedarkankan diri ini bahawa ujian perpisahan ini mampu untuk kuharungi sebab itu Allah pilih aku untuk menghadapinya.  Tarbiyyah ini juga menyedarkan aku agar tidak selamanya bergantung kepada suami dalam hal-hal pembaikan ini.  Kalau tak sendiri baiki pun setidak-tidaknya tahu macammana nak menyelenggara dan membaikinya.

Ya..benar..ujian adalah tarbiyyah dari Allah.  Semoga kita menjadi hamba-hambaNya yang berjaya disetiap ujian yang Allah kurniakan pada kita kerana "Setiap ujian yang datang itu , hadir dengan nama kita tertulis diatasnya.  Jangan ditanya 'kenapa aku?' Tetapi tanyalah 'kenapa tidak aku!" - Dari Dr Harlina".

Yang sukar adalah untuk mengekalkan momentum setelah tarbiyyah itu diperolehi sebagaimana sukarnya untuk mengekalkan kemabruran haji! Ujian kesenangan pastikan lebih susah untuk diharungi...